Kuala Lumpur: Pelakon, Jay Iswazir, 42, menghormati keputusan bekas isterinya, Azzahra Ahmad yang mengumumkan berita perceraian mereka, baru-baru ini.

Jay yang sebelum ini berdiam diri dari mengeluarkan sebarang kenyataan mengesahkan kebenaran berita ini dan berkata, kedua-dua mereka kini dalam tempoh bertenang.

“Bekas isteri dah jelaskan semua dan saya kena hormati keputusan dia untuk umumkan. Selebihnya saya tak nak komen apa-apa kecuali mohon semua mendoakan yang terbaik untuk kami berdua.

“Itu saja. Dari segi nafkah dalam tempoh edah, itu saya akan tunaikan sebab itu hukum. Jadi, saya kena buatlah benda itu. Insya-Allah dengan rezeki Allah bagi saya akan sempurnakan

“Saya tak tahu lagi apa perancangan seterusnya. Keputusan ini kami ambil selepas berfikir panjang jugalah dan bagi saya ia untuk kebaikan kedua-dua pihak,” katanya ketika ditemui di sidang media Sirih Bertepuk Pinang Menari yang berlangsung di Ruang Legar, Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, di sini.

Jay membawakan watak Zahiruddin Shah menerusi teater arahan Dr Lenny Erwan yang akan berlangsung pada 29 dan 30 November ini di Auditorium, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jay yang dikenali menerusi drama Insan Terpilih berkata, dia tidak menyangka perceraiannya tersenarai dalam trend artis bercerai tahun ini.

“Memang tak sangka pula kisah kami pun tersenarai. Tengah viral sekarang musim artis bercerai. Apa yang saya fikir ini adalah ketentuan. Bukan saya lepas tangan ataupun memudahkan mulut mengatakan ini ketentuan.

“Kami berdua berusaha dan saya percaya tak ada siapa pun mahukan perpisahan. Cuma yang ini terjadi dan alhamdulillah…saya dengan dia masih lagi berbaik dan kami mencari ruang masing-masinglah sekarang ini.

“Tak dinafikan dengan isu trend cerai ini secara tak langsung nama saya semakin dikenali tapi saya tak rasa bangga dengan itu. Benda ini kalau boleh semua orang nak elak. Ia ketentuan dan saya kena tabah hadapinya,” katanya.

Terdahulu, pada 24 November lalu, Azzahra yang juga pelakon menerusi Instagram memaklumkan perkahwinannya selama dua tahun dengan Jay sudah berakhir.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *