Kuala Lumpur: Pelakon, Redza Rosli, 32, menyifatkan konflik terjadi dalam rumah tangga pasangan selebriti hingga bercerai adalah ketentuan takdir Allah dan mesti ada yang terbaik di masa hadapan.

Redza atau nama sebenarnya Ahmad Redza Rosli berkata, dia bagaimanapun tidak mahu bercakap mengenai orang lain kerana sedar tidak ada manusia yang sempurna.

“Saya tak boleh nak komen banyak sebab apa yang terjadi dalam rumah tangga pasangan itu adalah takdir Allah. Mesti ada yang terbaik yang akan datang di masa hadapan.

“Macam saya, lebih kepada kita jangan cakap fasal orang. Sebab, saya pun tak sempurna. Isteri saya juga tidak sempurna dan kita ini semua sebagai manusia tidak sempurna.

“Ada baik buruk kita, ada hari baik kita, hari buruk kita dan apa yang penting, kita hidup di masa sekarang ini, waktu ini, kita menghargai satu sama lain dan buat yang terbaik,” katanya.

Terdahulu, Redza dan isterinya, Bella Hanna, 28, ditemui hadir pada sesi ramah mesra ‘Day Out’ bersama pelakon drama Luruhnya Bunga Cinta 2 di pusat beli-belah terkemuka, di sini.

Menurut Redza yang melakonkan watak Nuh Adrian dalam drama akan ditayang di TV3 itu, keikhlasan dalam diri juga penting untuk kita lakukan sepanjang kehidupan di dunia ini.

Pada 21 Jun lalu, Redza bernikah dengan Bella yang juga pelakon dan pengacara di Cheras. Pasangan ini juga membintangi drama Luruhnya Bunga Cinta, tahun lalu.

Berbicara juga debarannya terhadap tayangan Luruhnya Bunga Cinta 2, Redza berkata, ada juga rasa kebimbangan di hatinya terhadap penerimaan penonton untuk musim baharu ini selepas kejayaan dicatat sebelumnya.

“Tak dinafikan, memang ada rasa berdebar juga sebab musim pertama drama Luruhnya Bunga Cinta tahun lalu sudah mencatat ‘rating’ yang sangat baik. Tapi, kali ini rasanya lebih hebat lagi dan penonton kena tengok.

“Apapun, saya bersama barisan pelakon lain sudah memberikan yang terbaik untuk sekuel Luruhnya Bunga Cinta 2 dan semuanya diserahkan kepada penonton untuk menilai. Insya-Allah yang baik-baik nanti,” katanya.

Selain Redza dan Bella, pelakon lain turut membintangi musim kedua drama arahan Riza Baharudin itu ialah dibintangi oleh Tracie Sinidol, Aniq Durar, Auni Yusri, Nabila Razali dan ramai lagi.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *