Ira sudah ‘move on’, reda dengan takdir yang tertulis dan lagi banyak bercakap, takut terbuka aib sendiri. – Foto Ihsan Ira Kazar
KUALA LUMPUR: Di sebalik kesulitan, hinaan dan makian terselit hikmah serta rezeki yang tidak disangka buat wanita bernama Ira Kazar ini.-ADVERTISEMENT-
Impian bergelar penyanyi yang sudah lama tersemat dalam hati akhirnya bakal jadi kenyataan menerusi kolaborasi bersama penyanyi berbangsa India, Allan D menerusi lagu Tak Kisah.
Ira berkata, hati kecilnya tidak sabar menantikan kemunculan single Tak Kisah, namun di sebalik itu, dirinya bersedia menerima apapun kemungkinan penerimaan pendengar terhadap nyanyiannya.
“Tak Kisah, lagu berentak rancak bukan mengenai kisah hidup saya. Ideanya tercetus secara tidak sengaja ketika saya dan Allan duduk bersembang santai. Dari situ, lahirlah idea untuk hasilkan lagu.
“Jujurnya, saya hanya mampu berserah, pendengar suka ataupun tidak, ia di luar bidang kuasa saya.
“Mungkin mereka perlu dengar dulu kerana rentak lagu ini senang menangkap telinga,” katanya kepada BH Online.
Kecaman bagaikan sudah menjadi makanan dalam hidupnya.
Sejak berkawan, berkahwin hingga bercerai dengan pengarah sensasi, Syamsul Yusof, anak kepada pelakon veteran, Kazar Saisi itu sering menjadi mangsa kecaman hingga hatinya bagai sudah ‘kebas’.
Begitupun bukan bermakna Ira tidak terbuka dengan teguran. Baru-baru ini, persembahan Ira menyampaikan lagu Jangan Kau Mimpi pada acara anjuran usahawan, Datuk Seri Aliff Syukri dikritik hebat kerana dikatakan terlalu ‘over confident’ sehingga mengundang teguran guru vokal, Adzrin Azhar.
Ira berkata, dia tidak berkecil hati, sebaliknya berterima kasih kepada Adzrin atas teguran terbuka itu.
“Saya hargai teguran Adzrin, takkan hanya nak dengar yang baik-baik sahaja, kenalah dengar juga kritikan supaya saya tahu kekurangan yang perlu diperbaiki.
“Saya perlukan nasihat terutama insan memiliki ilmu dalam nyanyian. Saya sedang mempertimbangkan kemungkinan mengikuti kelas vokal dengan Adzrin kerana mahu mengasah bakat nyanyian yang masih jauh daripada kesempurnaan ini,” ujarnya penuh bersemangat.
Cukup berbicara soal kerjaya, menyentuh kehidupan peribadi selepas melalui episod perceraian, Ira berkata, dia sudah ‘move on’.
“Bohonglah kalau cakap saya tak sedih dengan perpisahan ini, tetapi saya terima takdir yang sudah tertulis.
“Saya kini menyibukkan diri dengan berkerja, malah tak sangka rezeki selepas hidup bersendirian lebih dipermudahkan.
“Bagi saya, setiap ujian itu ada hikmah. Namun, saya tak tahu rezeki yang Allah hadirkan ini adakah hikmah atau ujian.
“Mungkin Allah nak uji dan lihat bagaimana saya kawal apa yang saya miliki sekarang.
“Saya risau juga jika rezeki diberikan adalah ujian, tetapi akan cuba mengawal diri,” katanya.
Menyelami isi hatinya bagaimana begitu tegar berdiam diri biarpun diserang hebat askar netizen, Ira memilih berdiam bukan disebabkan perintah mahkamah.
Katanya, dia tidak perlu membela diri kerana orang akan tetap menyalahkannya walaupun mereka tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku.
“Jadi, berdiam diri adalah keputusan paling terbaik. Saya percaya banyak benda yang akan saya akan dapat bila berdiam diri.
“Kalau banyak bercakap, takut terbuka aib sendiri. Bukan mudah nak menjaga nafsu tak nak bercakap dan bercerita keburukan orang. Jadi, jalan terbaik berdiam diri,” katanya.