Aliff Satar pada Pelancaran Alif One Ummah Dinar dan Gold Bar oleh GB GOLD di Persiaran Laman Seri Business Park. FOTO GENES GULITAH-ADVERTISEMENT-

Shah Alam: “Saya kenal Aisha, dia sangat kuat semangat dan berbakat. Jangan putus asa Aisha, anggap sahaja ini hanya satu ‘bonggol’ (rintangan) dalam kerjaya,” kata penyanyi Alif Satar, 34.

Alif berkata demikian ketika diminta mengulas pembatalan konsert sulung penyanyi, Aisha Retno, 24, yang dijadualkan pada Sabtu ini.

Alif atau Muhammad Alif Mohd Satar berkata, Aisha memiliki bakat istimewa selain menyarankan penyanyi muda itu mencari peluang meneroka bakat di luar negara.

“Tidak keterlaluan, jika saya katakan bakatnya sama dengan seorang penyanyi yang dahulu pernah sama-sama pergi ujibakat dengan saya tapi artis itu tidak diterima ketika itu.

“Tapi bila dia (penyanyi) itu ke Amerika Syarikat (AS), namanya terus meletup.

“Saya juga nampak mungkin Tuhan mahu Aisha mencari peluang ke luar negara dahulu sebelum kembali semula ke sini. Perjalanannya masih jauh lagi,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Gold Bar dan Dinar di GB Gold, di sini, hari ini.

Mengenai konsert Aisha lagi, kata pengacara program Big Stage itu, pembatalan konsert akibat jualan yang tidak memberangsangkan bukanlah sesuatu yang memalukan sebaliknya perkara biasa dilalui ramai artis.

“Benda begini ambil masa, saya sendiri pun lalui banyak perkara. 

“Kalau setakat tiket tidak terjual ia perkara biasa, saya dahulu sampai pernah kena ‘boo’ (ejekan) oleh hampir 3,000 pengunjung,” katanya.

Pada masa sama, kata Alif, dia percaya masanya akan sampai bila Aisha sudah bersedia untuk menganjurkan konsert berkenaan.

“Artis seperti Aisha kalau dia nyanyi lagu saduran pun orang akan pergi tengok cuma mungkin ada kesilapan teknikal dari segi perancangan pemasaran.

“Kalau melihat kepada bakatnya, saya juga akan bayar hanya untuk tengok persembahannya. 

“Dia boleh ‘rap’ main alat muzik, menyanyi pelbagai bahasa termasuk Korea,”katanya.

Terdahulu, penganjur, Kharisma Music International mengumumkan pembatalan Konsert Malam Sutera Aisha Retno yang sepatutnya berlangsung di Zepp Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, menerusi hantaran di Instagram, Aisha memaklumkan pihaknya tidak diberitahu berkenaan pembatalan konsert berkenaan oleh pihak penganjur.

Menurut Aisha, pembatalan konsert berkenaan membuatkannya terlepas peluang untuk beraksi di pentas beberapa festival pada November ini. 

Source :