Kuala Lumpur: Pelakon Sharnaaz Ahmad tidak sanggup melihat Nur Fazura dikecam netizen gara-gara nyanyiannya menerusi lagu Bertahan Demi Cinta dikritik hebat netizen.
Mengakui nyanyian Fazura di sebuah program di Indonesia tidak merdu, namun Sharnaaz berharap aktres itu terus mengasah bakat.
“Saya rasa banyak kawan dia yang menyokong. Mungkin dia salah pilih kawan.
“Dia juga adalah rakan saya termasuk selebriti lain. Disebabkan dia kena kecam, saya pula yang kasihan melihatnya.
“Apabila kita melihat anak seni kena hentam macam ini, saya rasa macam kita ini tak ada maruah.
“Tapi tak boleh lah macam tu, orang kata kalau nak pergi berperang jangan bawa pensil, sekurang-kurangnya kena bawa pisau faham tak? Jadi apa yang saya maksudkan adalah kita kena asah lagi ‘skil’ kita,” katanya menerusi satu siaran langsung di TikTok.
Dalam masa sama, Sharnaaz sempat memberikan maklum balas mengenai mutu suara aktres itu yang tidak merdu untuk didengar.
“Nak tanya saya, sedap tak Fazura menyanyi? Tak sedap. Maaf terpaksa jujur sebab berdosa kalau menipu.
“Kalau anda kata merdu saya nasihatkan anda pergi jumpa doktor,” katanya.
Tambahnya, dia juga menganggap mutu vokalnya sama seperti penyanyi itu.
“Okay saya sudah ada geng. Suara kita lebih kurang sama. Saya ada peluang untuk keluarkan single tak lama lagi,” selorohnya.