KUALA LUMPUR: Rasa kasih dan sayang pelakon Farid Kamil terhadap isteri, Diana Danielle dan dua anaknya, Muhammad dan Nur Aurora tidak pernah berubah meskipun kini berdepan dengan kemelut rumah tangga.

Menerusi perkongsian dibuat melalui podcast Sembang Kaki Kima yang dimuat naik di Instagram (IG), Farid atau nama sebenar, Farid Kamil Zahari, 43, meluahkan perasaan sayangnya terhadap mereka yang disifatkan sebagai nadi dalam kehidupannya.

“Ya, saya sayangkan isteri dan anak-anak hingga sekarang.

“Mereka adalah nadi kehidupan saya. Saya sanggup buat apa sahaja yang perlu untuk memenangi hati mereka.

“Itulah maksud keluarga bagi saya,” ungkap Farid

Dalam pada itu, Farid yang cukup rapat dengan anak-anak turut menitip pesanan berharga buat permata hatinya itu supaya sentiasa menjaga solat lima waktu.

“Okay, baba nak cakap dekat Muhammad, Aurora, baba sayang anak-anak baba.

“Jangan tinggal sembahyang, ingat sembahyang selalu. Jalani kehidupan kalian dengan penuh ilmu agama di dada barulah kalian berjalan dengan selamat dalam hidup dengan penuh fana,” luah pelakon Anwar: The Untold Story itu.

Isnin lalu, Diana membuat kejutan apabila mengumumkan mahu memfailkan perceraian buat kali kedua menerusi perkongsian dalam IG.

Difahamkan, Farid berada di lokasi penggambaran filem ketika pengumuman dibuat.

Pada 10 Mac tahun lalu, Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson pernah memfailkan permohonan cerai di mahkamah yang sama, iaitu Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Alasan diberi pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

Farid dan Diana kemudiannya sah bercerai talak satu menerusi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu. Namun, mereka rujuk sebulan kemudian.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *