WALAUPUN Konsert Memori Mungkin Berulang yang menggandingkan dua penyanyi hebat, Tomok dan Siti Nordiana bakal berlangsung pada 1 Februari depan, namun, kehangatannya sudah mula dirasakan.
Bahkan, Tomok yang juga kini bergelar peserta Famili Duo musim empat yang sedang ditayangkan di TV3 turut mengambil peluang untuk mempromosikan konsert itu.
Tomok yang juga penganjur mewakili Popsicle Records berkata, dia amat berbesar hati dapat bergabung dengan sahabatnya sekali gus mengimbau kenangan fasa awal pembabitan mereka dalam karier seni.
“Pelbagai kejutan akan dipersembahkan sepanjang konsert ini berlangsung terutama lagu-lagu hits kami akan dinyanyikan sama ada saya mahupun Nana. Sepanjang kami bergelar penyanyi, ini kali pertama kami berkolobarasi demi penyokong dan peminat.
“Konsert ini juga akan mengimbau kenangan lagu Nana duet bersama dengan Allahyarham Achik yang akan dinyanyikan oleh saya.
“Saya yakin lagu-lagu hits seperti Memori Berkasih, Resipi Berkasih dan Gurauan Berkasih akan ditunggu-tunggu oleh semua peminat,” katanya.
Tambah Tomok yang juga vokalis kumpulan New Boyz, harga tiket berpatutan pula demi memberi peluang kepada peminat mereka untuk turut sama meraikan konsert itu.
“Harga tiket ditawarkan juga amat berpatutan dan saya yakin peminat kami berdua mampu memilikinya dan menyokong konsert kami ini. Kami akan berikan persembahan terbaik dan tidak merugikan wang anda,” katanya.
Sementara itu, Siti Nordiana yang mesra dengan panggilan Nana berkata, kehadiran konsert ini juga adalah bagi meraikan kolaborasinya bersama Tomok menerusi lagu duet Memori Mungkin Berulang.
“Memilih lagu duet kami iaitu Memori Mungkin Berulang sebagai teraju utama konsert ini adalah ia amat sinonim dengan saya dan juga Tomok.
“Dulu saya amat dikenali dengan Achik kerana kerap tampil dengan lagu-lagu duet yang menaikkan nama kami berdua. Saya juga tidak menyangka lagu duet dengan Tomok diterima ramai dan sekali lagi mencetuskan satu fenomena baharu untuk industri muzik masa kini yang dikelilingi Gen Z.
“Apapun saya bersyukur kerana lagu Memori Mungkin Berulang diterima di luar jangka terutama kepada anak-anak muda,” katanya.
Konsert Memori Mungkin Berulang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur.