TANPA disangka kisah dipaparkan dalam drama 15 episod yang kini disiarkan di slot Samarinda berjudul Calar Cinta seakan-akan berkaitan dengan isu terkini yang berlaku sekarang.

Penerbitnya, Faizatul Hasanah Hussain atau Hana Hussain berkata, drama terbitan syarikatnya Million Pictures Sdn Bhd diambil dari realiti hidup serta kisah wanita, keluarga dan masyarakat di Malaysia.

“Kita perlu berani mengangkat drama kemasyarakatan seperti ini kerana isu ini saya ambil dari kisah sekeliling lalu digarapkan dengan kemas untuk ke layar TV.

“Sebagai penerbit yang optimis, saya sedia bersaing secara sihat dengan produksi lain dalam menerbitkan drama yang lebih berbentuk kemasyarakatan. Kebanyakan drama saya lebih terjurus dengan situasi semasa.

“Sama seperti Calar Cinta, jalan cerita merujuk kepada kebanyakan wanita zaman sekarang yang lebih berdikari dan berjaya dari suami, namun suami perlu sentiasa dihormati walaupun dari segi kewangan atau pendapatan jauh lebih rendah dari isteri,” katanya yang sudah 20 tahun terbabit dalam industri penerbitan serta pernah bergelar wartawan penyiaran TV3.

Calar Cinta yang ditayangkan dari Isnin hingga Khamis pada jam 10 malam mengisahkan tiga sahabat iaitu Adrea, Inara dan Haris yang terperangkap dalam perasaan cinta, namun ada antara mereka yang terpaksa mengorbankan perasaan demi persahabatan.

“Kisah yang dipaparkan dalam Calar Cinta ialah persahabatan, percintaan, perkahwinan, perceraian dan hadanah antara Adrea dan Haris yang masing-masing mempunyai latar berbeza dalam menangani masalah kehidupan mereka.

“Watak Adrea dilakonkan oleh Harissa Adlyn, Haris (Nafiz Muaz) dan Inara (Qistina Qhaled). Haris lelaki biasa yang terpaksa bersabar menahan sikap aneh isterinya, Adrea yang selalu ingin menang kerana dibesarkan dan dimanjakan oleh ibu bapanya yang kaya.

“Inara seorang doktor dan mempunyai klinik sendiri. Dia wanita berdikari dan tegas, namun sikapnya yang ‘friendly’ membuatkan dirinya disenangi orang sekeliling. Inara selalu mengalah dan bersabar. Dalam diam menyayangi Haris, namun mengalah kerana persahabatan,” katanya.

Pengarah Calar Cinta, Azhar Khalid atau Apache berkata, pemilihan pelakon dalam drama bersiri ini mampu menghidupkan jalan cerita dan mood penonton baik dari segi pencahayaan, ‘framing’ serta skrip yang mantap.

“Pengalaman saya selama 30 tahun dalam dunia penerbitan membuatkan set penggambaran Calar Cinta mudah dikendalikan selama tempoh 40 hari.

“Cabaran yang perlu dilalui adalah untuk memastikan setiap babak di antara Haris dan Adrea sebagai suami isteri ada keserasian memandangkan mereka hadkan babak bersentuhan,” katanya.

Drama ini turut menampilkan Sham Visa, Achong, Carissa Azhar, Nadia Kesuma dan penampilan khas Datuk Tarmimi Siregar. Skrip drama pula ditulis oleh Amaz Mazilan.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *