Sejak diperkenalkan pada 2012, konsert jelajah universiti Warner Music Fest sudah dikenali dan mempunyai jenama yang kukuh dalam kalangan peminat muzik tempatan.

Terbaharu Warner Music Malaysia selaku penganjur meneruskan Warner Music Fest 2024 untuk tahun ke-11 di lapan universiti di seluruh negara.

Jelajah ini menyatukan bakat penyanyi tanah air dalam siri persembahan yang menarik dan buat pertama kalinya menjelajah ke Sabah dan Sarawak.

Pengarah Urusan Warner Music Malaysia dan Singapura, Dinesh Ratnam berkata, pihaknya teruja dengan jelajah kali ini kerana acara itu memberi platform kepada bakat tempatan memperluaskan pengaruh muzik.

“Kami sentiasa komited memajukan bakat tempatan dan menghubungkan mereka dengan peminat. Warner Music Fest 2024 bukan sekadar muzik, tetapi kami mahu mencipta komuniti, kreativiti dan menemui bakat yang ada di Malaysia. Selain itu, kami mahu membawa muzik terus kepada orang yang memberi inspirasi kepada kami iaitu golongan muda,” katanya.

Pada edisi kali ini, antara barisan artis yang terbabit ialah Amsyar Leee, Bunga Isme, Dinda Dania, Luqman Podolski, Rizal Rasid, Syamel, TUJU, Wani Kayrie dan Zynakal.

Setiap penyanyi yang mengambil bahagian pada edisi kali ini dijangka membawa pesona tersendiri serta lagu popular mereka untuk menawan penonton, menjadikan konsert ini sesuatu yang tidak boleh dilepaskan.

Selain persembahan langsung, pelajar universiti juga berpeluang menikmati sesi ramah mesra yang membolehkan mereka berinteraksi lebih dekat dengan artis kesayangan.

“Ini adalah kesempatan unik untuk peminat bertemu idola mereka secara eksklusif dan berinteraksi dalam suasana yang lebih dekat,” katanya.

Siri jelajah Warner Music Fest 2024 bakal bermula pada 3 November ini di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas); Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) (9 November); Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah (11 November); Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang (20 November); Universiti Teknologi Mara (UiTM), Selangor (21 November); Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak (29 November); Universiti Malaysia Sabah (UMS) (7 Disember) dan berakhir di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor pada 10 Disember depan.

Dalam masa sama, Warner Music Fest teruja apabila mendapat kerjasama pelbagai jenama yang menyokong penganjuran ini, antaranya Perfume Paradise yang bertindak sebagai penaja utama acara itu.

Dalam pada itu, pengasas Perfume Paradise, Nur Afiqah Amran berkata, kerjasama dengan Warner Music Fest 2024 memberi peluang kepada jenama minyak wanginya bertemu pelajar di seluruh negara yang menjadi pengguna setia mereka.

“Kami percaya platform ini memberi peluang kepada Perfume Paradise lebih dekat dengan pengguna kami memandangkan ramai pengguna kami dalam kalangan pelajar universiti.

“Jadi, kami nak meluaskan lagi jenama kami dan memperkenalkan kualiti yang kami miliki kepada mereka,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *