Pengacara dan pelakon terkenal, Awal Ashaari, 43, kini lebih fokus kepada bidang pengacaraan berbanding lakonan.
Awal berkata, bidang
pengacaraan lebih dekat dengan jiwanya walaupun sudah berlakon dalam 17 filem sebelum ini antaranya Impak Maksima, Dva, Niyang Rapik dan I’m Not Single.
“Saya lebih suka dan ‘enjoy’ mengacara kerana bila pegang mikrofon dan bercakap, saya dapat menjadi diri sendiri. Tidak perlu berasa tekanan sama ada watak dilakonkan menjadi atau sebaliknya.
“Berbeza dengan lakonan, kita ‘dipaksa’ melakonkan sesuatu watak mengikut kehendak skrip,” katanya pada majlis pelancaran koleksi baju jenama Kita & Co by Mimpikita di ibu kota, baru-baru ini.
Awal yang juga bekas pengacara Melodi berkata, dia menganggap dirinya tidak pandai berlakon dan berharap peluang itu diberikan kepada ramai pelakon berbakat lain.
“Bidang lakonan lebih menuntut banyak komitmen dan saya juga tidak boleh menjadi diri sendiri. Ada pihak tawarkan saya berlakon, tetapi ia projek yang terlalu panjang dan mengambil banyak masa.
“Tapi, kalau tawaran mengacara, saya boleh terima pada bila-bila masa dengan tangan terbuka,” katanya.
Awal yang juga suami pelakon, Scha Alyahya berkata, dia juga mengelak dari menonton filem lakonannya sendiri.
“Saya juga tidak mahu Scha dan anak-anak menonton filem lakonan saya. Saya juga tidak promosikannya kepada kawan-kawan kerana malu orang tengok lakonan itu.
“Saya anggap ia sesuatu yang tidak sihat kerana seseorang pelakon sepatutnya bangga dengan bakat dan karier lakonan diceburinya,” katanya.
Sementara itu, kerjasama dengan jenama Kita & Co by Mimpikita juga adalah bukti Awal dan Scha menyokong jenama tempatan.
“Selain banyak terbabit dengan jenama antarabangsa, kami juga bekerjasama dengan jenama tempatan,” katanya.