SAM dan Syatilla bahagia melayari bahtera rumah tangga.

BERTOLERANSI dan saling mempercayai antara satu sama lain adalah rahsia kebahagiaan rumah tangga pasangan pelakon, Shaheizy Sam, 41, dan Syatilla Melvin sejak lapan tahun lalu.

Sam atau nama sebenarnya, Shaheizy Sam Abdul Samad berkata, dia juga sentiasa mengingatkan dirinya dan isteri untuk sama-sama menjaga keharmonian rumah tangga mereka.

“Alhamdulillah, rumah tangga kami bahagia ketika ini. Isteri pun tak pernah lagi ‘check’ (periksa) telefon saya. Saya pun tak pasti dia tahu ‘password’ (kata laluan) telefon saya atau tidak.

“Semuanya berbalik kepada diri sendiri. Kalau kita tak nak benda tu jadi seperti isu penyondol dan sebagainya, kita cuba elakkan dari awal,” katanya.

Sam berkata, pada usia sekarang, dia berasa dirinya lebih matang kerana sudah menjadi ‘family man’ (ketua keluarga).

“Saya pula memang kurang bergaul dengan pelakon sama ada lelaki atau perempuan di lokasi penggambaran.

“Mungkin sebab saya pun sudah tak berlakon macam dulu iaitu dalam setahun boleh terbabit dengan empat hingga lima projek filem.Tapi sekarang, sekurang-kurangnya, satu projek filem setahun.

“Selalunya selepas habis penggambaran, saya terus pulang ke rumah untuk luangkan masa berkualiti bersama isteri dan tiga anak yang masih kecil,” katanya.

Ditanya pendapatnya mengenai perceraian dalam kalangan selebriti, Sam berkata, semuanya bergantung pada soal jodoh dan ketentuan Allah.

“Bagi saya, kalau jodoh kita panjang, gaduh macam manapun ia akan berpanjangan (kekal). Tapi kalau jodoh kita pendek, Allah sudah (tulis) tentukan ia pendek (tidak kekal),” katanya.

Sam dan Syatilla mendirikan rumah tangga pada 8 Februari 2016. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Syeriv Samheizy, 7; Sarima Samheizy, 5 dan Salama Samheizy, 2.

Syatilla bagaimanapun sebelum ini pernah mengalami keguguran sebanyak tiga kali.

Source :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *