Ampang: Bekas Menteri Kesihatan yang kini bergiat aktif sebagai penyampai radio Hot FM, Khairy Jamaluddin belum membuat sebarang keputusan untuk kembali ke dunia politik selepas lebih setahun terbabit dalam bidang penyiaran radio.

Khairy atau mesra disapa KJ berkata, walaupun beliau memberi bayangan akan kembali kepada kerjaya asal selepas diumumkan sebagai pemenang kategori Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36, Jumaat lalu, namun beliau enggan tergesa-gesa.

“Buat masa ini saya teruskan dulu dan perancangan masa depan itu nantilah saya buat keputusan.

“Saya selesa dengan hidup dan kerjaya saya. Tidak ada rasa nak tergesa-gesa balik ke politik, jadi saya akan ambil masa.

“Cuma sudah tentu satu hari nanti saya akan kembali (ke politik) sebab itu dunia asal saya. Tapi bila mahu kembali, saya akan ambil masa,” katanya ketika ditemui pada siaran luar Hot FM menerusi segmen kendaliannya, Bekpes Hot di Restoran Nasi Lemak Saleha Ampang di sini, hari ini.

Dalam masa sama, Khairy berkata, fokus utamanya kini adalah meneruskan kerjaya di Hot FM dan tiada perancangan untuk beralih ke stesen radio lain.

“Saya tiada perancangan untuk berpindah, cuma kontrak saya akan tamat pada akhir tahun ini. Saya perlu berbincang dengan Hot FM sebab sudah menang ini ‘rate’ (bayaran) kena naik,” katanya dalam nada bergurau.

Terdahulu, KJ menunaikan janjinya apabila menjamu nasi lemak kepada pengundi yang memilihnya sebagai pemenang di ABPBH36.

Menerusi siaran luar yang dibawakan, lebih 500 pengunjung hadir memeriahkan acara berkenaan sambil mengambil peluang bergambar dengan barisan penyampai Hot FM.

Trofi kemenangan Khairy pada ABPBH 36 turut dipamerkan bagi membolehkan peminat melihat dari dekat.

Turut hadir pada acara itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio (MPA), Nazri Noran dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Media Prima Omnia, Datuk Mohd Effendi Omar.

Antara artis yang hadir memeriahkan suasana adalah Dolla, Ara Johari, Emmet Butterfingers, Uyaina Arshad termasuk dua atlet paralimpik negara, Abdul Latiff Romly dan Muhammad Ziyad Zolkefli.

Selain Menteri Kesihatan, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau pernah menjawat jawatan Menteri Sains, Teknologi & Inovasi dan Menteri Belia & Sukan.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pemuda Umno dari Mac 2009 hingga Jun 2018.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *