Rosyam Nor (kanan) bersama peguamnya selepas membuat laporan polis. Foto dari IG
Kuala Lumpur: Pelakon Datuk Rosyam Nor tampil membuat laporan polis di Balai Polis Pudu, di sini susulan namanya dikaitkan pernah menasihati pelakon Fattah Amin sebelum membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga.
Berang dengan fitnah yang dilemparkan, Rosyam menyenaraikan beberapa pengguna akaun Facebook termasuk pemilik akaun yang menggunakan nama pelawak Bell Ngasri kerana didakwa mengaibkan dirinya.
“Saya sudah pun membuat laporan polis di Balai Polis Pudu berkenaan penyebaran di media sosial yang berunsur fitnah dan mengaibkan saya dengan (perceraian) Fattah Amin dan Nur Fazura,” katanya.
Menerusi hantaran video terbaharu yang dimuat naik di Instagram, Rosyam turut menunjukkan salinan laporan polis selain hadir ke balai polis ditemani peguam dikenali Aizul.
Sementara itu, Bell dalam satu hantaran di akaun Instagram miliknya menafikan dia adalah pengguna akaun Facebook terbabit apatah lagi memfitnahnya.
“Alamak datuk bukan saya pemilik Facebook itu. Entah sesiapa yang menggunakan nama saya. Sumpah saya tak tipu.
“Saya tak campur hal orang, jangan lah saman saya. Untuk pengetahuan saya bukan saja baik dengan Rosyam, tetapi dengan Fattah pun saya baik,” katanya.
Selepas perceraian Fattah bersama pelakon Fazura pada 7 Oktober lalu, tular semula rakaman video podcast Rosyam yang membincangkan topik tentang seorang isteri akan mula memandang rendah terhadap suami jika mereka memiliki lebih kekayaan.
Namun, dalam perbincangan itu, Rosyam tidak menganggap semua wanita berperangai begitu tetapi mendakwa kebanyakannya bersikap demikian.
Topik itu tiada kena mengena dengan senario kisah artis yang terpalit isu rumah tangga sebaliknya sekadar lontaran secara umum.