Kuala Lumpur: “Terima kasih kerana mengingatkan saya sebagai Zynakal bukannya Zayn Malik,” kata penyanyi Zynakal, 24, mengulas komen segelintir netizen yang menghina dan memperlekehkan rupa parasnya.

Zynakal atau nama sebenarnya Muhammad Raziq Rosli, berkata, dia menyedari kekurangannya dan tidak menganggap ia satu masalah besar untuk berada dalam industri.

Malah dia juga tidak bercadang untuk mengubah atau mencantikkan wajah menggunakan teknologi moden yang ada sekarang.

“Saya tak kisah. Benda itu tak jadi hal pun. Saya rasa bersyukur kerana berada dalam bidang muzik bukan lakonan, sebab kalau lakonan babitkan kemunculan, kena berada depan TV.

“Tapi saya dalam bidang muzik, orang tak kisah sangat. Orang hanya dengar suara. Saya bersyukur dengan apa yang ada dan tak marah pun kerana sedar siapa saya. Saya sedar sekarang zaman dimana rakyat boleh berbicara.

“Mereka nak cakap, mereka cakap sahaja. Saya tak pernah lalui sebelum ini apabila berada di tahap yang sekarang. Anggaplah itu sebagai pendapat. Nak marah pun buat apa. Ia tak menganggu mental saya pun,” katanya ditemui pada sidang media “Futureland” Festival di Stadium Merdeka baru-baru ini.

Persembahan anjuran Warner Music Malaysia dengan tajaan utama Watsons Malaysia ini akan berlangsung di Stadium Merdeka pada 23 November ini.

Diminta mengulas hubungan dengan bapa saudaranya, Zamani, Zynakal berkata, hubungan mereka semakin rapat selepas kematian ibunya, Zuraidah Ibrahim yang juga kakak kepada Zamani empat tahun lalu.

“Hubungan tetap rapat kerana kami satu bidang dan mempunyai minat yang sama dalam muzik. Bila mak saya tiada, pakcik memang jadi tempat berpaut. Kami banyak kongsi pengalaman mengenai industri muzik.

“Kami dah hasilkan satu demo ciptaan saya, cuma belum ada kepastian bila untuk dikeluarkan. Saya sebenarnya tiada keyakinan sebab saya rasa nak keluar dulu secara solo supaya menguatkan saya untuk berada di sebelah dia.

“Untuk saya sebagai Zynakal, katalog saya belum cukup dari segi album dan sebagainya. Nak ada katalog yang cantik dan banyak supaya bila berdiri di sebelah Zamani orang pun nampak saya. Lagu-lagu saya tak banyak,” katanya.

Menurutnya, dia mahukan agar orang betul-betul mengenalinya supaya apabila bergandingan dengan Zamani orang tidak tertanya-tanya siapa dirinya.

“Lagu itu saya cipta dah dua tahun lepas. Mungkin juga saya akan buat lagu lain kerana saya tak cepat puas. Buat satu benda kalau rasa ala kadar saya nak buat semula.

“Dia pun kalau rasa tak bagus akan beritahu supaya kedua-dua kami puashati. Lagipun demo itu dirakam dirumah dan hasilnya tak sempurna sangat,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *