MENCIPTA nama hampir 20 tahun lalu, kini band yang memperjuangkan genre rock iaitu Bunkface mampu berdiri megah sebaris dengan band-band popular lain.
Tahun ini, Bunkface yang dianggotai Sam, Paan, Youk dan Biak bakal menggegarkan pentas Dewan Filharmonik Petronas (DFP) menerusi acara DFP Showcase: Bunkface! yang akan berlangsung bulan ini.
Berkongsi mengenai konsert itu, Sam selaku vokalis Bunkface berkongsi rasa teruja mereka untuk mempertaruhkan lebih 20 lagu di pentas keramat itu.
“Mungkin, kami akan persembahkan 20 lagu atau lebih pada konsert ini. Malah, perasaan saya tentunya amat teruja dapat tampil di pentas DFP ini.
“Kami berhasrat akan sajikan persembahan terbaik semampu kami dan anda akan dapat dengarkan ‘bunyi-bunyi’ asli (original) Bunkface.
“Lagu-lagu kami tetap akan sama, sebab kami akan berikan tulus dari hati kami. Mengenai pemilihan lagu, kami akan tampil mempersembahkan lagu-lagu hit Bunkface.
“Tapi, mungkin juga kami akan nyanyikan lagu yang jarang didengari sekiranya sesuai dan ada sambutan peminat. Yang pasti, kami janjikan sesuatu yang akan memuaskan hati ‘Bunkers’,” katanya.
Tambah Sam lagi, pentas DFP juga akan digunakan sebaik mungkin oleh Bunkface untuk berkongsi dengan lebih mendalam dan terperinci mengenai karya-karya lagu mereka.
“Selain membuat persembahan, di pentas itu juga akan menjadi ruang untuk saya bercerita dengan lebih mendalam mengenai karya lagu-lagu kami.
“Sebabnya, durasi persembahan konsert ini lebih panjang berbanding kebiasaan. Bagaimanapun, kami tetap menganggap setiap acara persembahan itu, istimewa dan akan berikan yang terbaik,” katanya.
Bagi pemain gitar bass Bunkface, Youk berkata, nuansa muzik yang ada di pentas DFP tentunya akan memberikan pengalaman berbeza bukan saja kepada mereka, tetapi juga peminat yang sudi membeli tiket.
“Mungkin akan ikut kesesuaian muzik yang kami persembahkan nanti, bergantung kepada nuansa lokasi itu sendiri. Kami nak rasai pengalaman berbeza berbanding sebelum ini.
“Walaupun kami pernah beraksi di pentas DFP pada 2014, namun waktu itu jumlah lagunya hanya lima. Tak banyak sebab kami nak penonton yang keluarkan wang membeli tiket ini merasai pengalaman berbeza,” katanya.
Youk juga turut berkongsi mengenai prinsipnya yang sentiasa dipegang iaitu ingin mengembangkan industri muzik tempatan yang masih perlu ditambah baik.
“Baru-baru ini juga, kami sudah mengadakan persembahan di Konsert Jiwa Kacau dan Jiwa Merdeka 2024.
“Sejujurnya 10 tahun lalu, kita band tempatan takkan dapat merasai pengalaman untuk membuat ‘show’ (persembahan) di stadium dan ditonton kira-kira15,000 penonton.
“Sekarang, kita dah dapat rasa pengalaman itu. Jadi ia adalah perkembangan baharu yang positif dapat Bunkface rasanya di dalam industri.
“Bagi kami, biarlah kita ‘localize’ karya terkini di dalam negara dulu sebelum terbang ke luar negara. Buat apa kita nak sibuk terbang keluar, kalau industri kita yang di dalam negara ini masih sendu? Jadi, kita jayakanlah dulu dari dalam,” katanya.