SELEPAS menempa nama menerusi lagu duet berjudul OMK (Oh My Kadhale) bersama Zubir Khan, penyanyi baharu yang semakin dikenali, Ezra Kairo kini tampil mempertaruhkan single terbaharunya, Alahai untuk didengari peminat.
Apa yang memberansangkan lagi adalah muzik video lagu Alahai itu yang sudah mencapai lebih 900,000 tontonan di YouTube dan ‘trending’ (sohor kini) sejak dilancarkan pada 25 Ogos lalu di semua platform penstriman digital muzik.
Secara peribadi, Ezra atau nama sebenarnya, Daniel Ezra Mohd Shafiq Nickleson, 23, berkata, dia sangat gembira dengan sambutan dan maklum balas positif yang diterima daripada peminat single Alahai itu.
Katanya, single Alahai yang juga lagu ciptaannya bersama komposer Sabbala itu tidak diduga berjaya menawan hati peminat kerana gabungan unik dua bahasa serta menawarkan pengalaman muzik lebih segar dan menarik.
“Sambutan positif dan respons (maklum balas) daripada peminat sangat memberikan kepuasan mendalam kepada saya sebagai penyanyi.
“Sokongan daripada semua peminat setia saya terhadap single baharu, Alahai ini benar-benar amat menyentuh hati saya.
“Jadi, saya ucapkan terima kasih kepada semua peminat setia yang sentiasa ada pada setiap waktu menyokong saya di luar sana,” katanya yang berketurunan India Muslim.
Sebagai †pendatang baharu bidang muzik dan seni suara tanah air, Ezra tidak menafikan sokongan peminat sangat memainkan peranan penting di dalam perjalanan karier seninya.†
“Sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada peminat memberikan saya motivasi untuk terus menghasilkan karya muzik yang berkualiti dan terbaik.
“Apapun, saya memang sangat teruja untuk berkongsi lebih banyak karya lagu saya sendiri dengan peminat pada masa akan datang,” katanya.
Berkongsi mengenai single Alahai itu, Ezra berkata, ia satu lagu istimewa yang menggabungkan dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Tamil di dalam satu karya seni yang unik.
“Lagu ini sebenarnya cuba menyelami perasaan pasangan bercinta yang menganggap kekasih adalah pendorong utama di dalam hidup dan tanpa kehadiran mereka (kekasih), dunia terasa tidak lengkap.
“Cerita yang digambarkan dalam lagu Alahai ini mencerminkan hubungan mendalam, di mana ketiadaan kekasih akan membawa kesakitan dan kerinduan yang sangat mendalam.
“Lirik lagu ini juga menggambarkan perasaan cinta dan kegembiraan yang mendalam dalam diri seorang individu itu ketika dia dapat berjumpa dengan orang yang tersayang,” katanya.
Ditanya juga mengenai projek baharunya yang lain pula, Ezra berkata, dia sangat teruja untuk berkongsi mengenai apa saja karya terbaharu dihasilkannya dengan peminat.
“Saya hanya mahu melihat ke hadapan dan bersemangat untuk terus meneroka gaya muzik baharu serta bekerjasama dengan artis lain.†
“Saya juga berazam untuk meneruskan perjalanan muzik saya ini dengan mencipta karya lagu yang berkesan dan pelbagai serta ilham di luar kotak,” katanya.
Selain lagu OMK, Ezra juga dikenali dengan lagu kolaborasinya yang lain seperti Anak Helang (bersama Saixse) dan Kinrara (duet Dalia Farhana).