Kuala Lumpur: Pengurus kepada Nur Fazura iaitu Iman Tang mendedahkan dia termasuk peguam yang dilantik serta Fazura tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung permohonan cerai yang dibuat Fazura terhadap suaminya, Fattah Amin pada Jumaat lalu.
Iman menegaskan, pihaknya juga tidak pernah memperincikan butiran memohon cerai secara baik atau berkongsi tarikh prosiding seperti yang tersebar sejak semalam.
“Kami daripada pihak pengurusan, peguam dan Fazura sendiri mengesahkan tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh Fazura sejak tular kisah permohonan perceraiannya.
“Permohonan yang difailkan adalah satu permohonan cerai dengan kebenaran mahkamah sebagaimana kehendak undang-udang,” katanya kepada Harian Metro.
Iman berharap pihak luar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai konflik rumah tangga membabitkan Fazura dan Fattah.
“Pihak pengurusan berharap agar tiada pihak membuat sebarang kenyataan berbentuk andaian sendiri bagi mengelakkan pelbagai spekulasi,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Fazura memohon untuk bercerai secara baik daripada Fattah susulan permohonan yang difailkan oleh Fazura di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Jumaat lalu.
Malah, terdapat juga laporan yang mendakwa pasangan itu akan menghadiri prosiding di mahkamah pada 25 September ini bagi menyelesaikan isu perceraian mereka.
Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Nur Fatima Aisya yang kini berusia tiga tahun.