Los Angeles: Selepas lebih dua tahun bercinta, penyanyi Charlie Puth, 32, akhirnya berkahwin dengan wanita pilihannya Brooke Sansone, 24, pada 7 September lalu dalam majlis penuh intim.
Puth berkongsi berita gembira itu hari ini dan menyatakan dirinya adalah lelaki paling terbahagia dapat memperisterikan Brooke yang bekerja sebagai penyelaras pemasaran digital itu.
“Saya mencintai kamu Brooke…saya sentiasa cinta, bersama kamu, saya berada di tahap terbaik. Saya berjanji akan cintai kamu setiap hari dalam hidup ini, dan lebih lagi apabila melangkah ke tahap seterusnya.
“Brooke Ashley Sansone, dan sekarang kamu adalah Brooke Ashley Puth. Terima kasih kerana menjadikan saya lelaki terbahagia di dunia. Kamu memang sentiasa yang satu,” katanya.
Menerusi foto dikongsinya, majlis mereka diadakan di luar kediaman keluarga Puth di Montecito, California. Mereka kelihatan cukup berseri dalam busana kahwin ringkas.
Pasangan itu mulai bercinta sejak Jun 2022. Kemudian pada 5 September tahun lalu, penyanyi One Call Away itu melamar Sansone.
Tiada majlis besar, Puth melamarnya secara ringkas sebelum berkongsi khabar gembira dengan keluarga tercinta mereka.
“Cuma kami berdua saja, berkongsi makanan Cina atas sofa dan momen intim yang sungguh indah. Selepas itu, kami hubungi keluarga menerusi Facetime untuk kongsi berita itu,” katanya.