Kuala Lumpur : Sebagai antara peminat Datuk Seri Siti Nurhaliza, penyanyi, Ernie Zakri, 32, mengakui dia pernah mengundi penghibur nombor satu negara itu di dalam pencalonan Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) suatu ketika dulu.
Ernie atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakri ketika ditemui berkata, ketika itu dia berusia belasan tahun dan sanggup membeli surat khabar untuk menghantar undian buat penyanyi diminatinya itu.
“Waktu itu kalau nak mengundi artis kesukaan di APBBH memang kena beli surat khabar. Jadi, disebabkan saya adalah peminat Datuk Siti dan umur masa itu pun baru 13 atau 14 tahun, kita beli sajalah (surat khabar).
“Saya pula memang nak mengundi juga sebab tahu ABPBH itu adalah satu anugerah yang besar. Apatah lagi, bila kita sendiri minat seseorang artis, maka saya tahu apa perasaan sebagai peminat.
“Oleh itu, saya sangat menghormati dan menghargai apa yang peminat saya buat untuk saya sekarang,” kepada selepas sesi rakaman ‘podcast’ sempena ABPBH Ke-36 di Balai Berita, Bangsar, di sini, hari ini.
Menurut Ernie, sebagai antara artis yang dicalonkan di ABPBH36 kali ini pula, dia gembira dan berbangga apabila mempunyai kelab peminat, Erninators yang aktif dan sanggup bertungkus-lumus menghantar undian buatnya.
“Mereka ini kalau dah meminati dan menyayangi kita sebagai artis, memang sanggup memberikan sokongan termasuk mengundi. Saya faham apa yang mereka buat sekarang, terutama Erninators dan terima kasih diucapkan.
“Apapun, saya masih ingat lagi macam mana perasaannya apabila artis yang kita undi kerana sangat diminati itu berjaya dinobatkan sebagai pemenang. Rasanya sangat puas hati dan seronok yang tidak terhingga.
“Begitu juga apabila Siti diumumkan menang di ABPBH dulu, saya sendiri pernah berfikir yang beliau berjaya menang disebabkan undian saya. Sama juga macam sekarang, saya fikir bila menang mesti semua itu kerana usaha peminat yang buat untuk saya,” katanya.
Pada ABPBH 36 kali ini, Ernie berbangga dia berjaya dicalonkan dalam dua kategori iaitu Penyanyi Wanita Popular dan Lagu Paling Boom Popular menerusi lagu Masing-Masing bersama penyanyi dan komposer Indonesia, Ade Govinda.