Selepas kejayaan telefilem Pontianak 100KG yang ditayangkan di platform penstriman Tonton tahun lalu, kini syarikat produksi, Primeworks Studios dan Metrowealth membawakan kesinambungan naskhah itu menerusi filem berjudul Pontianak 200KG.
Dibarisi pelakon seperti Aya Amiruddin, Dottie, Ziana Zain, Ropie, Niezam Zaidi, Wanns Ahmad dan Malia Baby, filem Pontianak 200KG menemui penonton sejak 5 September lalu.
Pengarahnya, Shuhaimi Lua berkata, penghasilan filem Pontianak 200KG disuntik dengan beberapa elemen dan magis karya arahan Allahyarham Mamat Khalid.
“Saya cuba mengadaptasikan beberapa elemen yang ada dalam filem Mamat Khalid untuk filem ini. Sebenarnya saya amat mengagumi karya arwah.
“Beliau mempunyai sentuhan yang cukup unik dan luar biasa. Bagaimanapun, filem ini masih mengekalkan keaslian dan tema utama filem ini,” katanya.
Menurut Shuhaimi, proses penggambaran filem Pontianak 200KG dijalankan di Ijok, Selangor.

“Lokasi ini dipilih untuk memberikan latar yang tepat, sesuai dengan elemen seram komedi yang dihidupkan dalam filem ini.
“Filem Pontianak 200KG adalah satu penanda aras buat saya untuk terus mengarah filem yang memberi hiburan dan manfaat kepada orang ramai,” katanya
Menurut Shuhaimi, sepanjang menyiapkan filem itu dia dan seluruh pasukan produksi berdepan pelbagai cabaran.
“Cabaran dalam menghasilkan filem ini adalah berdepan cuaca tidak menentu sebab musim hujan, jadi agak sukar juga buat kami, tapi Alhamdulilah semuanya berjalan lancar,” katanya.
Dalam pada itu, Apich Lo yang kali pertama beraksi di layar perak meluahkan rasa teruja apabila diberi kepercayaan membintangi filem ini.
“Ini pengalaman pertama saya. Perasaan gementar itu sudah semestinya ada terutama apabila diberi kepercayaan berlakon dalam filem seperti ini.
“Saya rasa ‘cringe’ tengok lakonan saya. Kalau lihat babak saya dalam filem ini, saya sendiri rasa tak puas hati dan boleh diperbaiki lagi pada masa akan datang,” katanya.

Apich yang memegang watak sebagai Lee Min Ho berkata, salah satu cabaran yang perlu ditempuh adalah babak mandi dan membuka baju.
“Babak mandi itu pasti akan menarik perhatian ramai. Ketika dapat skrip, saya tidak tahu babak itu perlu membuka baju. Apabila pengarah suruh buka, saya anggap itu sebagai cabaran demi tuntutan kerja sebagai anak seni.
“Bagi saya, ini bukan mengenai tayang badan, sebaliknya komitmen terhadap kerja. Saya sudah bersedia secara mental dan fizikal sekiranya mendapat apa jua komen penonton filem ini,” katanya yang mengikuti kelas lakonan bersama Datuk Fauziah Nawi sebagai persediaan memantapkan kemahirannya.
Filem ini mengisahkan Kampung Terbalik menjadi mangsa serangan Pontianak Melati dan Pontianak Mewangi yang mencari makanan kerana sentiasa kelaparan.
Keadaan menjadi lebih huru-hara apabila penduduk kampung menyangka mereka adalah pontianak yang menghisap darah menyebabkan ramai penduduk kampung tidak sedarkan diri.