Kuala Lumpur: Penyanyi Ella berbangga apabila lagu nyanyiannya berjudul Standing In The Eye Of The World terus mendapat permintaan tinggi setiap kali menjelang Hari Kebangsaan negara.

Biarpun usia lagu itu sudah mencecah 26 tahun, namun lagu ciptaan Wah Idris dan Habsah Hassan terus digilai ramai dan kekal malar segar sehingga hari ini.

“Setiap kali negara menyambut hari kemerdekaan atau apa-apa program di peringkat kebangsaan, tentu lagu saya dimainkan.

“Sebagai anak Malaysia sudah tentu saya bangga dan bersyukur kerana karya saya diangkat dan terus diingati.

“Saya juga rasa bertuah kerana lagu-lagu itu dimiliki oleh saya, lirik dan melodi dia pun memang sesuai dengan pelbagai situasi seperti kemerdekaan, kesukanan termasuk untuk menaikkan semangat,” kata Ella ketika ditemui usai Usanita Fest yang berlangsung di Menara Kuala Lumpur, kelmarin.

Menurut Ella, lagu Standing In The Eye Of The World mempunyai keunikan tersendiri termasuk mampu menyatupadukan pelbagai bangsa.

“Keistimewaan lagu ini terletak pada bait lirik dan melodi yang cukup indah.

“Lagu ini bukan hanya dicipta untuk sukan Komanwel 1998 sahaja, tapi untuk menyatukan semua kaum di Malaysia. Ia juga menunjukkan identiti Malaysia,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *