Keterujaan peminat untuk menyaksikan pertembungan hebat legenda rock Malaysia, SYJ dan Sofea dalam konsert Revolusi Sofea Legacy VS SYJ Pewaris berlangsung di Warisan Hall Studio, Sijangkang, Sabtu lalu, cukup luar biasa.
Malah, kehadiran peminat di studio yang mampu memuatkan 300 pengunjung dengan pelbagai fesyen seakan-akan imej glam rock yang ditampilkan oleh SYJ dan Sofea pada era penghujung 1980-an ternyata mencetuskan suasana gamat terhadap konsert anjuran Mentari Merah Entertainment ini.
Konsert bermula jam 8 malam dan terlebih dahulu menampilkan kumpulan Bloodbrothers sebagai pembuka tirai. Mereka tidak kurang hebatnya apabila tampil dengan persembahan bertenaga.
SYJ kemudian mengambil alih pentas dan serentak itu kedengaran jeritan peminat menandakan tidak sabar menantikan persembahan mereka.
Suasana terus bertukar gamat apabila vokalisnya, Alang menyampaikan rangkaian lagu popular mereka Hati Syaitan, Waspada dan Hasutan sebelum berhenti seketika untuk berkomunikasi dengan peminat.
Alang menggunakan pengalaman luasnya untuk berceloteh dengan mereka sebelum kembali meneruskan persembahan dengan lagu Teruskan, Ini Nasib Kita, Kembalilah, Pewaris Generasi, Mata Sepet dan Orang Timur.
‘Mood’ penonton pula bertukar-tukar. Ada ketika mereka menyanyi bersama Alang dan ada ketika ‘head banging’ (goyang kepala) mengikut rentak lagu yang dimainkan SYJ.
Sofea yang diterajui anggota asalnya, Fancy (pemain gitar utama) mengambil giliran selepas itu dan vokalisnya, Pojie terus menyampaikan lagu popular Anak Liar yang tentunya ditunggu-tunggu peminat.
Mereka terus menjajah pentas selepas itu dengan lagu Garisan Dipersimpangan, Kawasan Larangan, Hujan, Bidadari dan ‘medley’ Bunga Padang Pasir, Lahanat dan Syurga Dihujung Jarum.
Penutup konsert, dua kumpulan ini bergabung atas pentas menyampaikan lagu ‘anthem’ magis jenama mereka iaitu Orang Timur.
Konsert ini turut dihadiri Amir SYJ dan Hatta Junction yang turut bertindak sebagai juri pertandingan pakaian glam rock.
Artis lain seperti Lord Lokman, Johan Rockers, Hamdan Bloodshed, Mus Satira, Doran Satira, Tajul FTG, Uchop Ahmad dan Talib Rockstage turut hadir memberikan sokongan.
Penganjur, Mohamed Noor Mustapha atau Mentari Merah melahirkan perasaan terharunya kerana konsert ini mendapat sambutan di luar jangkaan.
“Persediaan selama empat bulan untuk konsert ini akhirnya berbaloi. Saya dah banyak pengalaman dalam bidang ini sejak mula aktif sebagai penganjur pada 2013.
“Saya merancang untuk buat lagi di tempat lebih besar sekiranya ada pembiaya yang berminat. Saya dah bersedia apabila menubuhkan satu ‘team’ bernama Team Revolusi.
“Selepas ini saya mungkin buat konsert Revolusi 2 di utara atau selatan pula. Ia masih dalam perancangan,” katanya.
Selain daripada berhibur, Mohamed Noor turut menyumbangkan sebahagian kutipan jualan tiket kepada penggiat seni yang dilanda musibah atau sakit.