Kuala Lumpur : Video pelakon dan penyanyi, Bella Astillah pulang ke Sabah bertemu keluarga dan memeluk bapa saudaranya sambil menangis adalah video lama yang dimuat naik semula.
Perkara itu dijelas sepupunya yang juga penyanyi, Wani Kayrie.
“Video itu sudah lama sebenarnya. Mungkin dimuat naik semula apabila kisah rumah tangga Bella dan suami, Aliff Aziz menjadi bualan hangat.
“Apa yang saya tahu, lelaki dalam video berkenaan adalah satu-satunya bapa saudara Bella. Seperti semua sedia maklum Bella memang rapat dengan keluarganya,” katanya.
Wani berkata, seperti dirinya, tidak ramai keluarga Bella di Kuala Lumpur dan kebanyakannya menetap di Sabah.
“Bila kita merantau jauh, apabila dilanda dugaan dan cabaran kita memerlukan sokongan daripada keluarga. Ketika itu, kita perlu ‘take a break’ dan berada bersama keluarga. Jadi, saya rasa itu adalah keputusan yang terbaik untuk berada bersama kekuarga di sebalik apa yang dia hadapi ketika ini,” katanya.
Pada 9 Mac lalu, dunia hiburan dikejutkan dengan berita Aliff dan pelakon Ruhainies ditahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) disyaki berkhalwat di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.
Kemudian, Bella pada 13 Mac lalu memfailkan perceraian secara ekspres terhadap Aliff, namun sebutan kes itu ditangguhkan pada 4 April ini.
Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016. Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.