KUALA LUMPUR: Kemelut berpanjangan antara pelawak Ali Puteh dengan bekas kakak iparnya, Siti Norhidayah Mohd Ali atau Hidayah menyebabkannya tidak berjumpa dengan anak buahnya, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey selama empat tahun.

Bagaimanapun, Ali pergi ke rumah Hidayah bagi melangsaikan tuntutan saman RM75,486.48 akhirnya dapat mendakap Hamzah, 4, buat kali pertama selepas empat tahun.

Menerusi video langsung di TikTok, Ali kelihatan sebak ketika membawa anak-anaknya berjumpa dengan Hamzah.

Ali atau nama sebenarnya, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan turut meminta kebenaran daripada kakak iparnya untuk memeluk Hamzah.

“Hamzah mari sini, Pak Ngah (Ali) tak ada apa-apa nak bagi, tapi ini duit belanja buat Hamzah ya.

“Boleh saya cium anak buah saya? Empat tahun saya tak pernah tengok dia dan ini kali pertama.

“Hamzah jadi orang baik tau, nanti jumpa saudara-mara lain di Gombak,” katanya yang turut menghulurkan sejumlah wang kepada anak saudaranya.

Sebelum itu, Ali turut melafazkan kesyukuran apabila kes dengan bekas kakak iparnya yang juga balu kepada pelawak Allahyarham Abam akhirnya selesai.

“Syukur ya Allah dengan ujian ini. Mak, Abang Angah sudah selesaikan semuanya.

“Setiap pahit pasti ada manisnya. Janji Allah itu pasti, setiap ujian ada hikmahnya.

“Terus membesar anak-anakku semua. Hubungan saudara kita tidak akan terputus dan pasti kita pertahankan, insya-Allah,” katanya lagi.

Semalam, Ali hadir ke rumah Hidayah bagi melangsaikan tuntutan saman, bagaimanapun urusan itu masih lagi belum selesai apabila pihak Hidayah meminta Ali membuat pembayaran melalui peguamnya.

Pada 18 Februari 2022, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Ali dan tiga ahli keluarganya membayar RM60,000 kepada Hidayah kerana mengeluarkan kata-kata mengaibkan wanita itu dalam Instagram, dua tahun lalu.

Akibatnya, Ali terpaksa menjual tujuh trofi kemenangan bagi mendapatkan wang untuk melunaskan hutang kakak iparnya.

Antara trofi yang dijual termasuklah trofi program realiti Maharaja Lawak Mega, Muzikal Lawak Superstar, Projek Komedi Warna dan beberapa lagi.

Selain itu, Ali turut menjual motosikal jenis RXZ berwarna merah dan kereta Honda Accord berwarna putih miliknya.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *