BAGAN DATUK: Allahyarham Datuk M Daud Kilau sempat berpesan kepada cucu, Norhasliyana Hassan, 33, agar menguruskan jenazahnya sebaik mungkin andai ajal tiba.
Berkongsi detik akhir bersama arwah datuknya, kelmarin, Norhasliyana berkata, arwah berpesan agar jenazahnya dimandi dan dikafankan baik-baik jika tiba masanya untuk pergi.
“Atuk beritahu beliau akan pergi. Atuk sempat berpesan agar jenazahnya dimandi dan dikafankan betul-betul. Saya hanya mendengarnya, tetapi, saya tidak terlalu memberi perhatian sebab anggap atuk ‘mamai’.

“Atuk minta minta maaf, atuk beritahu nak pergi dah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Masjid Tuminah Hamidi di sini, hari ini.
Norhasliyana berkata, pesanan datuknya itu tidak tidak disangka menjadi perbualan terakhir dengan insan yang diakui rapat dengan sembilan cucunya.
“Kadang-kadang apabila atuk telefon, dia selalu tanya, cucu atuk buat apa?’ Selepas itu, atuk menyanyi lagu Cek Mek Molek kepada saya.
“Kenangan ini saya mesti rindu hendak dengar dan lihat senyuman atuk. Sejak atuk masuk hospital 12 Disember lalu, atuk sudah tak senyum, hanya beri tindak balas yang minimum.
“Saya pulang ke Kuala Lumpur kelmarin sebab doktor beritahu keadaan atuk sudah stabil. Kami fikir akan teruskan dengan pembedahan kaki atuk yang sepatutnya dibuat semalam. Tetapi apabila saya sampai Kuala Lumpur, keadaan atuk semakin merosot,” katanya.
Norhasliyana berkata, kesihatan Allahyarham M Daud merosot sejak Mac lalu dan bertambah buruk, awal bulan ini.
Kredit: Berita Harian