SHERRY mengaku tiada siapa mahu mendekati, bukan kerana terlalu memilih
PENGACARA dan pelakon, Sherry Alhadad, 39, mendedahkan keluarganya tidak pernah menekan untuk berkahwin dan statusnya yang sehingga kini masih solo juga tidak mengganggu kehidupannya.
Sherry atau nama sebenarnya, Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad berkata, ibunya tidak pernah bertanya soal perkahwinan kepadanya.
“Rasanya mak saya pun gembira sebab saya yang selalu bawa dia ke mana-mana sejak kakak dah berkeluarga.
“Mak akan hubungi saya dan saya juga okay saja untuk bawa ke lokasi yang ingin dituju,” katanya.
Ditanya mengenai perancangan masa depannya, Sherry mengakui dia sentiasa memikirkan juga soal jodoh.
“Sebelum tidur saya selalu berdoa dan rakan-rakan juga mendoakan perkara yang sama buat saya. Tapi, mungkin belum sampai lagi ke arah itu untuk berjumpa orang yang dicari.
“Jodoh ini rahsia Allah dan saya sentiasa berdoa supaya dipertemukan dengan orang baik yang sudi mengambil saya sebagai suri hatinya,” katanya.
Menurut Sherry, impiannya sebagai gadis desa sama saja seperti orang lain yang mahu bekerja dan berkahwin serta mempunyai anak.
“Buat masa ini masih tiada sesiapa yang mendekati, namun bukan kerana saya memilih. Saya seorang yang ‘simple’ dan sudah berusia.
“Sekarang bukan waktu sesuai untuk berkenalan macam dulu. Saya dah tiada masa nak ‘dating’ dan sudah lambat. Jika betul suka dan ingin berkenalan dengan saya, datang jumpa dan terus terang,” katanya.
Mengulas mengenai kes curang dan perceraian yang kini semakin tular, Sherry akui dia sedikit bimbang untuk berkahwin setiap kali mendengar berita begini.
“Namun, rakan-rakan sering mengingatkan saya pengalaman dan perjalanan hidup yang dilalui setiap orang itu berbeza.
“Jadi, tak semestinya apa yang dilakukan seseorang itu perlu menjadi ikutan atau apa yang sudah berlaku akan berlaku pada diri kita juga,” katanya.
Menurutnya, dia akan berusaha dan terus tawakal, tetapi pada masa sama akan cuba mencari bakal pasangan hidupnya juga.
Terdahulu, tular video di TikTok yang dimuat naik seorang lelaki memaparkan Sherry bersama individu terbabit menghabiskan masa bersama-sama di sebuah restoran di ibu negara.
kreadit : Harian Metro