KUALA LUMPUR: Kumpulan rock ‘otai’, Belantara akur sekiranya masih belum popular, khususnya dalam kalangan pendengar generasi muda biarpun sudah mula bergiat aktif dalam industri muzik tempatan sejak 37 tahun lalu.

Vokalisnya, Mohamed Zaid Yusoff menganggap kewujudan Belantara yang masih kurang mendapat perhatian mungkin disebabkan lirik dan muzik diketengahkan sukar diterima pendengar.

“Sebelum ini, kami mungkin kurang mendapat liputan media kerana mengetengahkan ekspresi artistik dalam karya yang tidak banyak ditonjolkan.

“Kalau berkongsi cerita dengan media sekalipun, mereka tidak boleh menyiarkannya kerana pada waktu itu pendedahan tidak begitu terbuka seperti hari ini.

“Hidup kami bukan untuk ‘dijual’. Apa yang kami tawarkan adalah karya yang mungkin menunjukkan cara hidup kami sendiri,” katanya pada sidang media Showcase 2.0 Belantara di Kona Mokapot Coffee, Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.

Selain Zaid, Belantara yang ditubuhkan pada 1986 ini turut dianggotai Shukri Salleh selaku pemain bes dan Aziz sebagai gitaris.

Belantara ditubuhkan Zaid, Aziz dan Shukri ketika menuntut di universiti di Amerika Syarikat (AS). Ketika itu, mereka menjadi artis rakaman di bawah naungan syarikat Polygram Malaysia.

Sebagai langkah membawa jati diri negara dalam pengaruh muzik Belantara, Zaid berkata, mereka memilih Belantara sebagai nama komersial daripada bahasa Melayu biarpun menubuhkannya ketika berada di luar negara.

“Ketika berada di AS, kami fikir adakah adil sekiranya ingin memberi nama kumpulan menggunakan bahasa Inggeris?

“Saya tahu lebih komersial jika menggunakan nama Inggeris, tetapi kami lebih selesa menggunakan nama kumpulan dalam bahasa Melayu.

“Ketika di AS, nama ini jugalah yang membezakan kami dengan kumpulan penyanyi lain,” katanya kepada BH Online.

Belantara ditubuhkan Zaid, Aziz dan Shukri ketika menuntut di universiti di AS dan bernaung di bawah naungan label Polygram Malaysia. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Belantara ditubuhkan Zaid, Aziz dan Shukri ketika menuntut di universiti di AS dan bernaung di bawah naungan label Polygram Malaysia. – NSTP/Eizairi Shamsudin

Dalam perkembangan lain, Belantara bakal menghadiahkan peminatnya dengan Belantara Showcase 2.0 yang bakal berlangsung di PJ Performing Arts Centre (PJPAC) 1 Utama, Petaling Jaya pada 7 Disember ini.

Acara berkenaan susulan daripada showcase pertama yang pernah dijayakan pada Februari 2020, selain mahu memenuhi permintaan daripada penggemar muzik.

Sama seperti showcase pertama, Belantara Showcase 2.0 juga dianjurkan peminat yang turut membiayai acara berkenaan.

“Band ini hanya berkongsi muzik dengan peminat yang selama ini mentafsir lagu kami berdasarkan pengalaman dan membawa makna istimewa kepada mereka.

“Showcase ini lanjutan daripada visi untuk memberikan pengalaman yang tiada tandingan kepada penonton dan merapatkan semula hubungan peminat dengan Belantara.

“Kami akan menyampaikan 18 lagu daripada tiga album Belantara khusus buat peminat setia. Semua lagu adalah ciptaan kami sendiri dan showcase ini juga mengimbau nostalgia bersama peminat setia sejak dulu,” kongsi Zaid.

Terdahulu, showcase pertama Belantara di Damansara Performing Arts Centre (DPAC) selama dua malam berjaya menarik lebih 400 peminat.

Tidak dinafikan, Belantara mempunyai pengaruh besar terhadap penuntut pusat pengajian tinggi dan sekolah berasrama penuh suatu ketika dahulu.

Selain dianggap sebagai band menampilkan muzik rock progresif, muzik mereka juga dipengaruhi band luar negara seperti Rush, Led Zeppelin, Queensryche dan The Police.

Belantara memiliki tiga album bersama Polygram Malaysia iaitu Belantara pada 1987, Srikandi Di Sisi (1988) dan Infiniti (1990).

Antara lagu popular, termasuk Srikandi Di Sisi, Dewi, Panglima Angkasa, Airmata, Lautan Cahaya, Sutra, Menari Di Dalam Hujan dan Jebat.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *