DALAM kalangan penggemar muzik indie tempatan, nama Bil Musa, 30, bukan asing. Aura penghibur anak muda ini dapat disaksikan setiap kali dia beraksi atas pentas.

Bagi sesiapa yang tidak mengikuti muziknya selama ini, tidak susah untuk jatuh cinta dengan lagu-lagunya. Bil sangat mementingkan kualiti lagu dan lirik.

Tidak ketinggalan, vokalnya turut menunjukkan kematangan yang ketara. Ia kedengaran unik tanpa ada bayangan suara mana-mana penyanyi lain.

Begitu juga dengan kemahirannya berinteraksi atas pentas, Bil tidak canggung dan tampak sangat santai.

Terbaharu, Bil tampil dengan single berjudul Pentas hasil garapan komposer, Iqie Hugh dan Firdaus Rahmat serta terbitan Armani Entertainment Group (AEG).

Bil atau nama sebenarnya, Nabilah Musa mengakui ramai yang ‘terkejut’ apabila sebelum ini lagu Pantang dilancarkan yang dihasilkannya sebelum ini disifatkan ‘catchy’ dan sedikit lari dari genre indie.

“Sudah tentu peminat lebih mengharapkan saya kembali kepada rentak nyanyian yang terdahulu dengan komposisi lagu ‘healing’ yang lebih sinonim dengan saya sebagai pengkarya muzik,” katanya.

Mengulas mengenai single terbaharu yang dilancarkan, Bil menjelaskan Pentas turut menyelitkan unsur kerohanian.

“Idea asal lagu ini datang daripada komposernya sendiri yang mahukan sebuah karya mengenai hubungan manusia dengan Sang Pencipta dalam perjalanan hidupnya.

“Kali pertama mendengar demo lagu Pentas, hati terus terpaut padanya, rasa sebak pun ada juga. Bagi mereka yang sudah lama mengikut perjalanan seni saya faham bahawa laluan bukan sesuatu yang mudah.

“Walaupun mempunyai peminat tegar, muzik saya seakan-akan tidak ‘sampai’ di Malaysia. Agak susah bagi penyanyi indie seperti saya menyentuh jiwa pendengar secara umumnya.

“Pentas bersifat peribadi kerana menceritakan mengenai perjalanan hidup seseorang yang kehilangan arah dan berdepan pelbagai cabaran, namun dengan kuasa iman beserta sifat tidak mudah menyerah kalah dan percaya yang masanya tiba suatu hari nanti,” katanya.

Lagu bernuansa balada pop ini dinyanyikan Bil dengan stail ‘signature’ yang tersendiri, namun padat dengan maksud yang mendalam.

Katanya, lagu itu mengambil masa tiga hari untuk dirakamkan kerana memerlukan penghayatan yang tinggi.

Krdit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *