KUALA LUMPUR: Kumpulan rock dari Indonesia, Radja yang tampil dalam Live In Concert: Radja
di Mega Star Arena di sini, malam tadi, menghulur sumbangan RM5,000 kepada tabung membantu rakyat Palestin.
Vokalis Radja, Ian Kasela berkata, sumbangan itu atas tanda prihatin kumpulan itu kepada rakyat Gaza yang sedang berdepan kesukaran.
“Terima kasih semuanya… Anda sangat menakjubkan, Kuala Lumpur. Tetapi di sebalik keriuhan kita, jangan lupa beri doa kepada saudara kita di Palestin. Mudah-mudahan masalah dan insiden yang terjadi di sana cepat selesai,” katanya.
Membuka persembahan dengan lagu Bulan, Radja yang turut dianggotai Moldy Kusnadi yang bermain gitar dan Seno Aji (dram) menghiburkan peminat dengan persembahan lebih dua jam menerusi 16 lagu.
Selain Bulan, Radja turut menghiburkan peminat dengan lagu popular Selalu Jauh Dari Cinta, Wahai Kau Cinta, Cinderella, Benci Bilang Cinta, Ga Ada Waktu, Manusia Biasa, Yakin, Patah Hati, Angin dan banyak lagi.
Menambah kehangatan, ratu rock negara, Ella turut beraksi sebagai artis jemputan. Ella kemudian berduet dengan Ian menyanyikan lagu Jujur serta Ta’kan Melupakanmu sebelum menutup tirai.
Ian sempat menzahirkan penghargaan kepada 5,000 penonton yang hadir.
“Terima kasih kepada semua penonton yang hadir dan ‘sing-along’ kepada lagu-lagu Radja, serta buat Ella kerana sudi bersama-sama kami di pentas.
“Ini adalah fasa baharu buat Radja kembali ke Malaysia dengan maklum balas yang sungguh luar biasa dari peminat. Terasa detik intimasi sepanjang konsert berlangsung,” katanya.
Kredit: Berita Harian