KUALA LUMPUR: Pelakon Aiman Hakim Ridza mengaku lebih selesa menjalani penggambaran di bawah platform penstriman atau Over The Top (OTT) berbanding televisyen (TV) kerana lebih terbuka dan realistik.

Jejaka berusia 34 tahun itu menyifatkan suasana ketika menjayakan apa sahaja projek bagi mana-mana platform OTT dirasakan lebih seronok, malah mampu bertahan dalam jangka masa panjang.

“Saya tak nafikan OTT memberi lebih banyak kebebasan, realistik dan boleh bertahan dalam jangka masa panjang.

“Kalau platform konvensional atau TV, habis setakat itu sahaja, namun ia berbeza dengan OTT yang lebih disiarkan berpanjangan.

“Suasana menjalani penggambaran bagi mana-mana platform OTT berbeza daripada untuk siaran TV.

“Kalau di TV, orang datang untuk balik, tapi OTT orang datang untuk terus lihat ke hadapan apa lagi yang boleh dilakukan. Ini kerana, sasaran diletakkan oleh setiap platform berbeza,” katanya kepada BH Online.

Aiman bersama barisan pelakon drama That Cover Girl yang kini ditayangkan di 240 negara. - NSTP/Rohanis Shukri
Aiman bersama barisan pelakon drama That Cover Girl yang kini ditayangkan di 240 negara. – NSTP/Rohanis Shukri

Justeru, pelakon yang memulakan karier lakonan pada 2014 menerusi drama Vanilla Coklat itu berharap pihak yang mengelolakan penyiaran di kaca TV mampu memberi semula kebebasan seperti sebelum ini.

“Sebenarnya kebebasan untuk TV ini sudah ada, tapi tidak pasti mengapa sekarang tidak diberikan lagi. Kalau lihat, pihak penyiaran sudah berbincang untuk berikan semula kebebasan ini.

“Apa yang disajikan daripada kerja perfileman atau drama sebenarnya adalah hasil daripada masyarakat sendiri dan itu adalah fakta.

“Tapi ada penapisan, kita tidak akan nampak bagaimana penerimaan masyarakat disebabkan kekangan. Saya fikir bukan sudah tiba masa, tapi perlu kembali kepada cara lama semula,” katanya ditemui pada sidang media Amazon Original pertama dari Malaysia berjudul That Cover Girl, di sini baru-baru ini.

Aiman berkata, sepatutnya penyiaran tempatan perlu mengambil contoh karya Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang bersifat terbuka untuk memaparkan realiti dalam kehidupan.

“Kalau lihat hasil kerja Allahyarham P Ramlee mana ada sekatan. Apa sahaja yang beliau mahu katakan tiada masalah. Ada sahaja babak hisap rokok dan sebagainya, tapi tiada isu.

“Bukanlah mahu tegaskan perkara itu, tapi bagi saya, perlu ada kebebasan supaya lebih realistik,” katanya.

Terbaharu, Aiman bersama barisan pelakon lain seperti Siti Saleha, Hisyam Hamid dan Alicia Amin menjayakan drama That Cover Girl yang disiarkan secara ekslusif di Prime Video sejak 19 Oktober lalu.

That Cover Girl diterbitkan Creative Stew mendapat sentuhan daripada Abid Hussain selaku pengarah turut ditayangkan di 240 negara.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *