PETALING JAYA: Syarikat produksi naskhah kesinambungan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan berdepan kontroversi apabila pengarahnya, Areel Abu Bakar mendakwa khidmatnya tidak lagi diperlukan untuk menyelesaikan baki 10 peratus filem terbitan Studio Kembara Sdn Bhd itu.
Areel berkata, keputusan mengejutkan itu dibuat syarikat produksi terbabit dalam satu pertemuan tertutup pada April lalu selepas filem berjudul Pendekar Awang itu berjaya disiapkan sebanyak 90 peratus.
“Saya sudah siapkan 90 peratus penggambaran. Alhamdulillah, sikit lagi nak habis. Tiba-tiba, produksi hentikan penggambaran filem tanpa alasan. Bila perkara ini berlaku, sudah tentu saya kecewa kerana saya sudah letak sepenuh hati kepada kerja penghasilan filem ini.
“Saya tak tarik diri, tetapi status tergantung. Masa itu saya sangat gembira kerana filem sudah 90 peratus disiapkan termasuk suntingan. Sebaik selesai, saya dipanggil produksi untuk mengadakan perbincangan yang turut disertai peguam mereka.
“Saya tanya apa alasannya, tetapi mereka tak boleh jawab. Biarlah mereka selesaikan dahulu barulah saya akan keluarkan kenyataan. Tetapi, kalau mereka tak nak selesaikan apa-apa, saya akan keluarkan kenyataan secara rasmi,” katanya kepada BH Online.
Areel menambah, dia masih terbuka untuk berbincang bagi menyelesaikan kemelut yang melanda, namun ada syarat yang perlu dipatuhi produksi terbabit.
“Saya ada beritahu produksi ketika pertemuan bahawa saya tak suka filem saya ada nama orang lain. Kalau nak juga, buang filem yang sudah saya hasilkan dan mereka buatlah semula.
“Jangan guna nama saya. Kalau mereka pandai, buatlah semuanya. Karya ini bukan orang boleh suka-suka nak cuit.
“Jika ‘busuk’, nama saya juga yang terpalit,” luah Areel ketika ditemui pada malam tayangan filem Walid di Damansara Utama, semalam.

Dalam pada itu Areel turut menafikan konflik dihadapinya berpunca daripada kegagalannya mengurus soal kewangan hingga kos dikeluarkan melebihi bajet yang disediakan.
“Perkara pertama yang mereka nyatakan, saya menyebabkan berlakunya bajet melambung. Kalau betul perkara ini berlaku, bukan saya yang pegang duit.
“Soal duit, produksi yang uruskan. Tempoh penggambaran tidaklah sampai ada penambahan hari. Malah, saya berjaya pendekkan tempoh penggambaran sebanyak tujuh hari iaitu daripada 75 hari kepada 68 hari.
“Penggambaran juga berjalan lancar mengikut jadual,” jelasnya.
Meskipun kecewa kemelut terjadi, namun Areel tidak pernah menyesal bekerja dengan produksi terbabit.
“Silap saya tak tanya pengarah sebelum ini kerana tak sempat. Cuma, pelakon ini pernah nasihatkan saya supaya berjaga-jaga.
“Saya tak pernah menyesal dengan apa yang saya sudah buat. Semuanya sudah tertulis.
“Mungkin ada sebab kenapa Tuhan tak bagi saya habiskan projek filem ini.
“Selepas kejadian, Tuhan beri saya rezeki lain apabila filem Walid berjaya ditayangkan di New York dan Los Angeles pada Julai lalu,” ungkap Areel.
Terdahulu, selepas naskhah Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan ditayangkan pada Jun tahun lalu mendapat kutipan pecah panggung, Pengarah Urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mt Dali mengumumkan bakal menghasilkan prekuel filem berkenaan.
Bagaimanapun, Abdul Rahman enggan berkongsi butiran lanjut sehingga filem selesai menjalani penggambaran.
Kredit: Berita Harian