KUALA LUMPUR : Selama ini, jika disebut Mak Yong, mungkin ramai tahu kewujudan tarian tradisional Melayu ini yang menggabungkan unsur ritual, lakonan, muzik dan instrumental yang berpadu dengan cerita

Keunikan Mak Yong diiktiraf Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai khazanah tidak ternilai yang perlu terus dipulihara.

Namun, tidak ramai orang tahu antara warisan kesenian terkenal di Kedah yang perlu dijaga adalah Mek Mulung, iaitu seni yang digabungkan dalam sebuah persembahan membabitkan unsur lakonan, nyanyian, tarian dan muzik.

Struktur persembahan Mek Mulung mempunyai persamaan dengan Mak Yong, namun, perbezaan dapat dilihat dari segi loghat, busana, bunga tarian dan konsep persembahan. Apa yang menjadikan seni ini unik, persembahan Mek Mulung menggunakan loghat Kedah sepenuhnya.

Sehingga sekarang, cuma segelintir kecil pengamal kesenian itu yang masih aktif mengadakan persembahan Mek Mulung dan memperjuangkan warisan kesenian itu.

Atas usaha memartabatkan seni warisan ini, Panggung RTM menerbitkan telefilem mengangkat Mek Mulung berjudul Angin sempena Hari Kebangsaan Ke-66.

Angin dibintangi Hairi Safwan, Nadiya Nisaa, Hasnul Rahmat, Hanafi, Amanda Tan, Nurdini Adlina dan Zainon Ismail.

Turut ditampilkan adalah barisan korus yang merangkumi Artis Budaya Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN), pemuzik daripada Persatuan Penggerak Warisan Seni Budaya Kedah (AKRAB) dan tokoh penggiat seni Mek Mulung kumpulan Seri Mahawangsa.

Pengarah Angin, Danny Alamsyah, 29, berkata telefilem itu dihasilkan selari dengan hasrat pihaknya memartabatkan warisan kesenian dan kebudayaan tempatan.

“Disebabkan naskhah ini berkisar sambutan Hari Kebangsaan, saya terfikir mengangkat seni budaya Mek Mulung sebagai tema.

“Saya selitkan kisah kekeluargaan untuk meringankan naskhah ini. Saya sengaja suntik kelainan.

“Bagaimanapun, naskhah ini bukanlah berbentuk dokumentari. Saya hanya mampu beri sedikit maklumat mengenai Mek Mulung melalui watak yang diketengahkan dalam telefilem ini.

“Saya juga selitkan penjelasan melalui watak pensyarah yang dibawa Nadiya supaya penonton tahu apa itu Mek Mulung,” katanya pada sesi pratonton telefilem Angin di Wisma TV, Angkasapuri, Kuala Lumpur, kelmarin.

Danny berkata, Malaysia memiliki banyak subjek seni yang boleh dipaparkan.

“Saya ambil seni yang boleh dikatakan hampir pupus, maksudnya, seni yang asli ini tidak banyak dipentaskan lagi. Pengamal Mek Mulung sangat sedikit. Ramai daripada mereka menetap di Wang Tepus, Kedah.

“Jadi, dalam cerita saya ini, saya tukar Wang Tepus kepada Wang Budi. Menariknya, watak pengamal yang saya gunakan dalam cerita ini semua adalah watak sebenar yang masih hidup dan cerita yang saya ambil adalah daripada Hikayat Putera Cahaya Bulan,” katanya.

Diminta menjelaskan maksud Angin sebagai judul telefilem itu, Danny yang juga graduan jurusan seni persembahan drama daripada Universiti Malaya (UM) itu berkata, istilah itu memberi dua maksud.

“Pertamanya, angin adalah konotasi yang berkait rapat dengan ritual dan perubatan. Orang dahulu apabila sakit, mereka panggil sakit angin, jadi mereka lakukan Mek Mulung untuk buang sakit angin itu.

“Namun, untuk pemahaman penonton, angin adalah baran yang dipunyai oleh watak utama yang dibawakan Hairi.

“Apabila kita buat cerita untuk medium televisyen (TV) arus perdana, kita tak boleh guna cara hasilkan filem di Netflix. Platform seperti itu ada penonton bersasar.

“Di TV1, kandungan ditonton secara umum. Jadi, saya ringankan untuk tontonan supaya ramai boleh faham jalan cerita diketengahkan, lebih-lebih lagi, dengan bantuan visual.

“Tetapi bagi mereka yang faham Mek Mulung, mereka boleh mengerti. Saya bersyukur ada pelakon yang bagus untuk menjayakan kisah ini,” katanya.

Angin mengisi slot tayangan TV1 dan RTMKlik pada 2 September depan, mulai jam 9 malam.

Secara ringkas, Angin berkisar dua beradik, Khabir lakonan Hairi dan Sufiah (Nadiya) yang lahir dalam keluarga pengamal seni tradisional Mek Mulung di Kampung Wang Budi.

Kisah bermula apabila ayah Khabir dan Sufiah yang dikenali sebagai Pak Saad, iaitu pengasas gerakan seni tradisional Mek Mulung Seri Mayang, meninggal dunia, lantas mewariskan amalan seni tradisional itu kepada kedua-dua anaknya itu.

Konflik bagaimanapun timbul apabila dua beradik ini mempunyai fahaman dan ideologi berbeza berhubung hala tuju seni persembahan tradisional itu.

Keadaan bertambah buruk apabila Sufiah membawa orang luar, iaitu bangsa lain sertai Seri Mayang. Ini membuatkan Khabir yang mempunyai pendirian konservatif, bertambah berang.

Di satu sisi lagi, Khabir pula menggadaikan tanah pusaka tempat di mana Mek Mulung di Wang Budi bertapak menyebabkan kumpulan Seri Mayang berisiko kehilangan tempat.

Perseteruan antara dua beradik ini kemudiannya menyebabkan kumpulan Seri Mayang berpecah. Ini menjejaskan masa depan seni Mek Mulung di Wang Budi yang makin hilang ditelan arus pemodenan.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *