Petaling Jaya: Pelakon, Puteri Sarah Liyana berkongsi mengenai proses edah yang dijalaninya kini dan menjelaskan mengenai kekeliruan yang timbul apabila ada pihak mempertikai aktiviti karier seninya yang terus berlangsung dalam tempoh ini.
Sarah ketika ditemui di sidang media Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke 35 (ABPBH35) berkata, dia mendapatkan maklumat mengenai proses edah melalui pembacaan.
“Saya sendiri ada membuat bacaan dan mencari tahu mengenai edah. Sekiranya suami meninggal dunia, barulah si isteri perlu berkabung dan tak boleh keluar dari rumah serta berhias. Tapi, untuk saya, saya perlu keluar kerana tuntutan kerja.
“Edah untuk wanita yang bercerai pula, dalam masa tiga bulan, saya kena maklumkan kepada bekas suami sekiranya saya perlu keluar. Dia juga memang sedia maklum. Bahkan, saya ke Jakarta untuk urusan kerja tempoh hari pun, dia tahu,” katanya kepada Harian Metro.
Tambah Sarah, ia tidak menjadi masalah walaupun pertikaian mula timbul kerana menjadi tanggungjawabnya untuk menjelaskan.
“Saya tak ada masalah kerana apabila ada yang tak tahu, saya kena beritahu mengenai perkara ini,” katanya.
Ditanya mengenai kehidupan baharunya, Sarah bersyukur kerana apa yang berlaku merapatkan hubungan antaranya anak-anaknya dengan bekas suami, Syamsul Yusof.
“Saya sudah mulakan hidup baharu. Anak-anak pun okay. Bahkan, selepas apa yang berlaku, Syamsul lebih kerap berjumpa dan luangkan masa dengan anak-anak. Hubungan mereka semakin baik.
“Begitu juga hubungan saya dengan Syamsul, semakin baik dan tak ada masalah. Kami selalu berhubung dan berkongsi mengenai anak-anak,” katanya.
Sarah dan Syamsul bercerai secara sah pada 14 Jun lalu dengan talak satu.
Kredit: Harian Metro