KUALA LUMPUR: Bakat cemerlang, impak produk, tempias kontroversi serta pembabitan konsisten di platform digital dan media sosial menjadi antara faktor artis dan selebriti diangkat finalis Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35.

Apatah lagi, ketika ini, interaksi dan pendedahan terhadap kandungan dan produk seni serta persekitaran, lebih terarah kepada platform digital dan media sosial seperti TikTok.

Mendahului finalis lain, pelakon jelita, Anna Jobling mendominasi ABPBH 35 dengan empat pencalonan.

Populariti aktres berdarah kacukan Melayu-Inggeris ini meledak selepas drama lakonannya bersama Meerqeen berjudul Melur Untuk Firdaus, menjadi bualan hangat penonton.

Bukan sekadar keserasian dan lakonan bersahaja dipamerkan pasangan itu, malah gosip kisah cinta mereka yang hangat diperkatakan turut menyumbang kepada kejayaan Anna bergelar finalis ABPBH 35.

Anna atau nama sebenar, Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 23, dicalonkan dalam kategori BBNU Wanita Popular, Aktres TV Popular dan Couple TV Popular bersama Meerqeen menerusi drama Melur Untuk Firdaus.

Anna turut tercalon dalam kategori sampingan, Ekstra! iaitu Drama Popular bagi naskhah sama.

Mengikuti rapat Anna adalah tujuh selebriti yang masing-masing menerima tiga pencalonan.

Mereka adalah pemenang trofi Bintang Paling Popular ABPBH 34, Janna Nick; pelawak dan pelakon, Zizan Razak; Meerqeen; Aedy Ashraf, pasangan pelakon drama Bisik-Bisik Gelora, Raysha Rizrose dan Redza Rosli serta Siti Khadijah Halim.

Janna yang menerima enam pencalonan dalam Top 20 melepasi senarai Top 5 untuk kategori Aktres Filem Popular, Pengacara TV Popular dan lagu Paling Boom menerusi lagu Gatal.

Gara-gara drama trending, dua pasangan pelakon, Anna Jobling dan Meerqeen serta Redza Rosli dan Raysha Rizrose berjaya membolosi Top 5, ABPBH 35.
Gara-gara drama trending, dua pasangan pelakon, Anna Jobling dan Meerqeen serta Redza Rosli dan Raysha Rizrose berjaya membolosi Top 5, ABPBH 35.

Zizan bolosi kategori Aktor Filem Popular, Artis Komedi Popular dan Couple Filem Popular bersama Elizabeth Tan dalam filem Abang Long Fadil 3.

Meerqeen tersenarai dalam kategori Aktor TV Popular, Couple TV Popular bersama gandingannya Anna dalam drama rantaian Melur Untuk Firdaus dan Drama Popular bagi naskhah sama.

Aedy pula terpilih membarisi senarai akhir Aktor TV Popular dan Couple TV Popular bersama aktres Amelia Henderson menerusi drama Kisah Cinta Kita.

Drama rantaian terbitan A Aida Production Sdn Bhd itu turut melepasi senarai Top 5 kategori Drama Popular.

Sementara itu, Redza menjadi finalis untuk kategori Aktor TV Popular, Couple TV Popular bersama pasangannya, Raysha Rizrose dalam drama Bisik-Bisik Gelora serta Drama Popular bagi naskhah sama.

Raysha dicalonkan dalam kategori Couple TV Popular dan Drama Popular menerusi naskhah Bisik-Bisik Gelora selain kategori utama, Aktres TV Popular.

Siti Khadijah pula terpilih membarisi calon Top 5 kategori BBNU Wanita Popular, Couple TV Popular bersama aktor Aniq Suhair dan Drama Popular. Semua pencalonan itu menerusi drama Sekali Lagi Cinta Kembali.

Biarpun ada yang menganggap kontroversi boleh menjatuhkan nama artis, terbukti andaian itu retorik semata-mata apabila tiga pelakon menembusi senarai akhir melalui ‘tiket’ itu.

Kemunculan Puteri Sarah Liyana, Diana Danielle dan Sophia Albarakbah membarisi senarai Top 5 ABPBH 35 membuktikan kontroversi membantu dalam meraih populariti.

Puteri Sarah tercalon dalam kategori Aktres TV Popular, manakala Diana bolos kategori Aktres Filem Popular.

Sophia yang namanya mula dikenali menerusi filem Mimaland, tercalon dalam kategori BBNU Wanita Popular dan Aktres Filem Popular.

Sejak beberapa bulan lalu, nama ketiga-tiga pelakon ini cukup ‘panas’ selepas kisah peribadi mereka menjadi bahan perdebatan dalam media sosial.

Lakonan cemerlang Adi Putra, Fattah Amin dan Beto Kusyairy dalam filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan memberi saingan dalam kategori Aktor Filem Popular.
Lakonan cemerlang Adi Putra, Fattah Amin dan Beto Kusyairy dalam filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan memberi saingan dalam kategori Aktor Filem Popular.

Sementara itu, kemunculan muka baharu belum mampu melenyapkan pengaruh artis ‘senior’ dalam pencalonan akhir ABPBH 35.

Bintang ternama seperti seperti Datuk Aaron Aziz, Datuk Adi Putra dan Haiza yang sebelum ini pernah bergelar finalis, kembali bolos senarai pencalonan akhir ABPBH 35.

Aaron yang juga penyandang trofi Bintang Paling Popular ABPBH 2011 dan 2013, tersenarai dalam kategori Couple Filem Popular bersama pasangannya, Nadiya Nisaa dalam filem Dekatnya Cinta.

Adi yang menunjukkan lakonan cemerlang dalam filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan tercalon dalam kategori Aktor Filem Popular. Dua lagi pelakon filem ‘box office’ itu, iaitu Fattah Amin dan Beto Kusyairy bolos kategori sama.

Sebelum ini, Adi pernah tersenarai sebagai finalis dalam kategori yang sama iaitu pada ABPBH 2014.

Kembali menduduki senarai Top 5 adalah penyampai radio Buletin FM, Haiza apabila dicalonkan dalam kategori Penyampai Radio Popular.

Kali terakhir Haiza bergelar Top 5 untuk kategori yang sama adalah pada ABPBH 2016.

Persaingan sengit dilihat dalam kategori BBNU Lelaki Popular apabila finalis ‘hot’ dan menjadi pujaan ramai iaitu Amir Ahnaf, Mierul Aiman dan Fadhli Masoot tersenarai.

Populariti tiga aktor ini melonjak sekelip mata susulan drama bersiri Projek: High Council lakonan mereka.

Senarai pencalonan akhir turut menyaksikan pemenang ABPBH 34 mengekalkan penguasaan mereka apabila sekali lagi mendapat kepercayaan pengundi sebagai finalis dalam kategori sama.

Mereka adalah DJ Lin yang bolos kategori Penyampai Radio Popular; Siti Nordiana (Penyanyi Wanita Popular); Haqiem Rusli (Penyanyi Lelaki Popular); Siti Saleha (Aktres TV Popular); Ben Amir (Aktor TV Popular); Janna (Aktres Filem Popular dan Pengacara TV Popular) dan Fattah (Aktor Filem Popular).

ABPBH 35 yang dilancarkan 12 Mei hingga 11 Jun lalu, mencatat rekod baharu dalam sejarah penganjuran acara anugerah berprestij ini apabila lebih 21 juta undi diterima sepanjang tempoh 31 hari proses pemilihan pusingan pertama dibuka.

Secara keseluruhan, sejumlah 21,033,657 undian diterima daripada peminat membabitkan 12 kategori utama dan tujuh kategori sampingan, Ekstra! yang dipertandingkan pada edisi kali ini.

Bertemakan Ekspresi Legasi Seni, ABPBH 35 mengumumkan pengeluar produk kesihatan wanita, Fellera Skin sebagai penaja utama.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *