KUALA LUMPUR: Pelakon veteran, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar tidak kisah siapa bakal dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).

Namun, katanya, individu itu harus meneruskan usaha baik cetusan idea bekas CEO, Prof Dr Md Nasir Ibrahim yang ditamatkan perkhidmatan menerusi notis 24 jam, berkuatkuasa semalam.

Selaku pemain industri, Ahmad Tarmimi mengakui sudah lali dengan pertukaran tampuk pimpinan FINAS yang silih berganti.

Bagaimanapun, katanya, dia terkejut dengan penamatan khidmat Md Nasir yang berlaku serta merta.

“Siapa pun bakal dilantik CEO FINAS, teruskan inisiatif yang pernah dibuat Md Nasir.

“Janganlah apabila jawatan berubah, semua yang baik pernah dilaksanakan Md Nasir turut diubah.

“Usaha yang baik harus diteruskan. Jika ikut berubah, sampai bila-bila pun industri perfileman negara akan terus berada di takuk lama dan tak ke mana-mana,” katanya kepada BH Online.

Ahmad Tarmimi berkata, ramai pemain industri selesa dengan perlantikan Md Nasir sejak November 2021. Ini kerana sebagai ahli akademi, beliau sering melahirkan idea bernas untuk anjakan pembangunan industri kreatif.

Md Nasir memulakan perkhidmatan pada 1 November 2021 ditamatkan kontrak dalam notis 24 jam, kelmarin. - NSTP/Hazreen Mohamad
Md Nasir memulakan perkhidmatan pada 1 November 2021 ditamatkan kontrak dalam notis 24 jam, kelmarin. – NSTP/Hazreen Mohamad

Namun, katanya, apa yang membuatkan sedikit terkilan kerana ‘kerusi panas’ itu sering kali diganggu.

“Kami baru hendak selesa dengan pendekatan yang dilakukan. Tetapi, baru hendak berjalan lancar, ada sahaja gangguan lain.

“Jadi, bila perkhidmatan Md Nasir ditamatkan dalam notis 24 jam, kami terkejut besar. Tertanya-tanya juga apa yang berlaku?

“Persatuan, pekerja filem, individu dan ramai lagi selesa dengan Md Nasir.

“Dari segi undang-undang memang tidak wajar diberitahu kenapa ini terjadi, tetapi sebagai pemain industri, kami berhak untuk tahu,” kata Ahmad Tarmimi.

Sepanjang setahun tujuh bulan berkhidmat, kata Ahmad Tarmimi, antara usaha Md Nasir yang perlu diberikan kredit adalah penyediaan silibus untuk semua bidang berkaitan filem sama ada penulisan, sinematografi, pengarahan, lakonan, busana, solekan dan banyak lagi.

Ahmad Tarmimi yang bertindak sebagai salah seorang ahli panel menyediakan silibus berkenaan bersama dengan beberapa ahli akademi lain berkata, ia tidak pernah dilaksanakan oleh FINAS sebelum ini.

“Selama ini, silibus yang ada hanyalah di institusi pengajian tinggi ataupun diajar oleh individu.

“Namun, sejak Md Nasir dilantik, beliau mewujudkan silibus supaya mana-mana pemain industri yang tidak berpeluang mengikuti pengajian secara formal dapat menimba ilmu yang standard menerusi latihan disediakan FINAS mengikut silibus disediakan.

“Jadi, saya berharap, usaha ini tetap diteruskan oleh pemimpin baharu selepas ini,” katanya.

Md Nasir memulakan perkhidmatan pada 1 November 2021 yang sepatutnya berakhir pada 31 Oktober depan.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *