KUALA LUMPUR: Pelakon Amar Baharin berkongsi khabar duka apabila bapa tersayang, Mohd Baharin Amin menghembuskan nafas terakhir, pagi tadi.
Menerusi perkongsian Instagram (IG), Amar, 38, bagaimanapun tidak mendedahkan punca kematian bapanya itu
“Assalamualaikum. Saya Amar ingin memaklumkan kepada semua yang mengenali ayah saya, Mohd Baharin bin Amir, bahawa ayah sudah meninggal dunia.

“Mohon doakan arwah semoga Allah ampunkan segala dosa arwah. Andai ada dosa arwah sesama kalian, mohon diampunkan sepanjang arwah hidup di dunia ini,” tulisnya.
Suami kepada pelakon dan pengacara, Amyra Rosli ini turut berharap semua pihak dapat mendoakan urusan pengebumian arwah bapanya, dipermudahkan.
“Andai kata ada pahala dari bacaan ayat suci al-Quran anda semua, mohon disedekahkan kepada arwah.
“Dengan izin Allah, semoga Allah permudahkan pengurusan jenazah dan Allah letakkan arwah bersama insan beriman,” katanya.
Sementara itu, melalui entri Instagram Story (IGs), pelakon drama rantaian Bukan Puteri Lindungan Bulan ini memaklumkan jenazah bapanya dibawa ke Masjid Sungai Sekamat, Kajang, untuk dikafan dan disolatkan sebelum disemadikan.
Kredit: Berita Harian