Kuala Lumpur: Penyanyi kelahiran Australia, Lenka, 44, menyukai makanan, cuaca dan masyarakat Malaysia yang disifatkannya peramah dan menerima baik pelancong asing sepertinya dengan hati terbuka.

Ibu dua anak ini berada di Malaysia sempena konsert solonya, Lenka Live In KL yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, di sini, jam 8.30 malam ini anjuran Push Play.

Lenka ketika ditemui berkata, dia sudah datang ke Malaysia beberapa kali dan pernah mengadakan persembahan nyanyian bersama penghibur lain sebelum ini.

Katanya, cuma baharu sekarang dia mendapat peluang beraksi dalam konsert solo.

“Saya sangat sukakan Malaysia dan ketika datang di sini, saya paling gemar makan laksa dan nasi lemak. Di sini (Malaysia) juga ada pelbagai makanan enak yang selalu dianggap pelancong sebagai ‘syurga’ makanan.

“Saya sentiasa teruja dan seronok setiap kali datang ke Malaysia kerana selesa dengan cuacanya yang bagus, termasuk sikap penduduknya yang ramah dan mudah mesra,” katanya pada sidang media di sebuah hotel di Bukit Bintang, di sini.

Lenka berkata, untuk konsert malam ini dia akan menyanyikan sebanyak 16 lagu daripada beberapa albumnya termasuk karya dalam dua EP iaitu Discover yang dilancarkan pada 2020 dan terbaharu berjudul, Recover.

“Saya harap peminat yang datang ke konsert ini akan terhibur. Saya juga akan menyanyikan lagu-lagu yang mereka (peminat) rasa serasi daripada karya sudah lama tidak dinyanyikan serta terbaharu yang dihasilkan.

“Saya juga berterima kasih dengan penganjuran konsert ini dan menjanjikan lagu-lagu menarik akan dipersembahkan untuk penonton nanti. Saya sudah bersedia untuk menemui anda semua,” katanya.

Wakil Push Play dikenali Nika pula berkata, kenapa organisasi itu berani membawa Lenka membuat konsert di Malaysia kerana yakin penghibur berkenaan mempunyai kelompok peminatnya tersendiri yang ramai di sini.

“Kami tahu Lenka tidak akan sesekali mengecewakan peminat dengan persembahannya yang penuh nostalgia. Dia (Lenka) juga sangat profesional dan komited dalam karier nyanyiannya yang membuat kami ingin bekerjasama.

Lenka yang juga komposer dan pelakon popular dengan lagu seperti What Goes Up, On My Side, Trouble Is A Friend dan The Show.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *