Kuala Lumpur: “Saya tidak kisah bangun jam 2 atau 3 pagi untuk buat susu, basuh berak serta tukar lampin anak kerana itulah rutin yang dilakukan serta tanggung jawab sebagai bapa yang memiliki anak kecil.

“Saya juga mahu melakukannya sendiri kerana mahu melihat mereka membesar depan mata,” kata Raja Pop Legenda, Datuk Jamal Abdillah.

Jamal berkata demikian ketika ditanya bagaimana dia menguruskan empat anaknya yang masih kecil di rumah bersama isteri, Datin Zai Izzati Khiruddin, 28.

Menurut Jamal yang akan mencecah usia 64 tahun pada 7 Mei nanti, dia juga bukan berasa bangga dikurniakan anak pada usia emas sebaliknya lebih memikirkan tanggung jawab kepada masa depan mereka.

“Anak adalah anugerah dan rezeki dari Allah SWT. Apa yang penting, tanggung jawab saya sebagai bapa untuk memastikan masa depan semua anak-anak kami terjamin.

“Bayangkan, dalam tempoh 10 tahun lagi, saya sudah berusia 74 tahun dan anak bongsu, Rahil Laura Salsabila Yamani atau Laura pula baru berusia 10 tahun.

“Sebab itu, saya sudah sediakan simpanan dan insurans serta lima buah rumah untuk semua anak-anak bagi memastikan mereka dapat hidup dengan selesa kelak,” katanya kepada Harian Metro.Ditanya cabaran menjaga anak, kata Jamal, ia bukan tugas mudah untuk menjaga empat anaknya yang masih kecil kerana semua hiperaktif.

“Walaupun, kami ada pembantu rumah tetapi saya tidak mahu menyerahkan semua tugas menjaga anak kepadanya.

“Setiap kali selesai persembahan, saya akan terus pulang ke rumah untuk membantu isteri menguruskan anak-anak kerana berasa kasihan padanya.

“Contohnya, pagi ini saya sempat mandikan Azura untuk bawa dia melihat adik kecilnya Laura di hospital,”katanya.

Jamal berkata, hubungannya dengan anak-anak sangat rapat dan mereka juga tidur bersama dengannya.

“Anak saya Zack, sangat rapat dan tidur dengan saya.

“Rayyan pula bila sukar tidur, saya akan pasang lagu dendangan saya seperti lagu Aku Penghibur dan barulah dia nyenyak tidur,” katanya.

Mengenai susu badan pula, kata Jamal, semua anak-anaknya hanya menyusu badan selama tiga bulan sahaja.

“Saya juga sudah ceraikan tiga anak dari menyusu badan dan cukup selama tiga bulan sahaja kerana tidak sampai hati melihat keadaan isteri yang penat bila anak sukar berenggang dengannya,” katanya.

Jamal mendirikan rumah tangga dengan Zai Izzati pada 1 April 2017. Hasil perkongsian hidup itu, mereka sudah memiliki tiga anak iaitu Nur Azura Yamani, 3, El Isaac Yamani atau Zack, 2, dan Iskandar Rayyan Yamani kini berusia setahun.

Menerusi perkahwinan terdahulunya, Jamal memiliki dua anak lelaki iaitu Osama Yamani, 21, dan Ahmad Zaki Yamani, 17.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *