Kuala Lumpur : Anak kepada penyanyi veteran Rahim Maarof iaitu Jasmin Rayhan meminta menghentikan berita dan maklumat kurang tepat mengenai situasi kesihatan bapanya.
Rahim yang popular dengan lagu Cinta Kristal, Jangan Kau Rayu dan Istana Menanti kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sungai Buloh (HSB) akibat tekanan darah tinggi.
Jasmin ketika dihubungi berkata, ini adalah masa privasi untuknya dan keluarga.
“Sekarang ayah saya dalam proses penyembuhan dan ini adalah masa untuk kami pihak menjaga privasi kami.
“Kami harap semua pihak dapat berhenti sebarkan maklumat yang tak tepat dan mohon doakannya,” katanya kepada Harian Metro.
Jasmin juga memohon supaya tidak disebarkan gambar bapanya yang kini dirawat di hospital.
“Jika sesiapa ada gambarnya di hospital, jangan sebarkan dan padamlah bagi menghormati keluarga kami,” katanya.
Jasmin berkata, sebarang maklumat yang diterima daripada orang lain selain ahli keluarga mereka adalah tidak tepat.
“Saya mohon maaf sebab setakat itu saja maklumat yang dapat saya kongsikan. Terima kasih dan sekali lagi, saya minta maaf kerana saya perlu menghormati keputusan keluarga.
“Kami harap media dapat berikan masa dan privasi kepada kami. Apa-apa maklumat yang bukan daripada saya, bukan maklumat tepat,” katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan Rahim ditahan dan dirawat di ICU hospital berkenaan dan menjalani pembedahan pada Jumaat lalu selepas dimasukkan ke hospital sehari sebelum itu.
Kredit: Harian Metro