Kuala Lumpur: Pelakon Aiman Wynne, 25, syukur tiada kejadian buruk menimpanya namun jadikan ia pengajaran besar susulan insiden dia dan pengurusnya Faiz mendakwa menjadi mangsa pembuli jalan raya sehingga menyebabkan cermin kereta dipecahkan baru-baru ini.

Walaupun masih terkejut, Aiman atau nama sebenarnya Aiman Nasir Wynne menyeru orang ramai terutama wanita agar memasang perakam video pada kereta sebagai langkah berjaga-jaga.

“Malangnya kereta kami yang dipandu Faiz tiada ‘dashcam’. Saya pula lebih fikirkan keselamatan diri dan langsung terlupa nak rakam kejadian itu serta nombor pendaftaran dua individu terbabit.

“Sejurus insiden, kami terus membuat laporan polis dan menunggu perkembangan kes itu. Pihak polis ada merujuknya kepada bahagian trafik untuk mengesan individu terbabit menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian,” katanya.

Menceritakan detik cemas itu, Aiman berkata mereka dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Tonton Anugerah Drama Sangat (TADS) di Putrajaya sewaktu insiden berlaku, kelmarin.

Ketika melepasi sebuah tol berdekatan Putrajaya, mereka tiba-tiba dikejar dua lelaki dalam sebuah kereta.

“Mereka menjerit-jerit seolah marahkan kami dan terus mengejar kira-kira 10 minit di lebuh raya. Sebaik sampai di jalan kecil, mereka menahan kereta kami sehingga terpaksa berhenti mengejut.

“Seorang daripadanya cuba membuka pintu sebelum lagi seorang naik ke atas bahagian depan kereta dan menumbuk cermin sampai pecah. Mujur sangat pintu kereta berkunci kerana tak tahulah apa jadi kalau tak,” katanya.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *