KUALA LUMPUR: Tiada apa lagi yang dikejarkan pengacara jelita, Yasmin Hani selepas memiliki segala-galanya dalam hidup.
Hidupnya diserikan dengan kehadiran dua cahaya mata, namun, hanya soal jodoh belum ditetapkan.
Yasmin berkata, dia juga tidak kisah sekiranya tak lagi bertemu jodoh dalam usia 44 tahun. Hendak kejarkan zuriat mungkin tidak memandangkan usia bukan muda dan berisiko tinggi.
Seandainya kekasih hati, Alif Hadi, 35, melamar, Yasmin berkata, dia tidak akan menolak, namun, buat masa ini, tiada apa-apa perancangan membawa perhubungan ke peringkat lebih serius.
“Buat masa ini, perkahwinan bukan keutamaan. Alif sendiri pernah berkahwin, jadi mungkin ingin memastikan benar-benar bersedia menjaga saya bersama dua pakej anak.
“Mungkin barulah bersedia memikirkan secara serius soal hubungan ini. Saya juga pernah melalui episod kegagalan rumah tangga, jadi saya ingin memastikan Alif sudah bersedia menjaga kami.
“Ini adalah perkahwinan kedua kami. Jadi, saya tidak mahu andai berlaku apa-apa, bukan sahaja saya trauma, malah anak-anak turut sama merasai kesannya.
“Bagaimanapun, setakat ini, Alif baik dan anak-anak saya sayangkannya. Alif pandai melayan budak-budak,” katanya kepada BH Online.
Tambah Yasmin, buat masa ini, mereka selesa berkawan, ada jodoh kahwinlah nanti.
“Saya tidak menolak, cuma ia bukanlah keutamaan kami, buat masa ini,” kata Yasmin.
Pengacara program Dapur Tempur itu menafikan menangguhkan perancangan berkahwin kerana trauma kegagalan perkahwinan terdahulu.
“Jika trauma, sudah tentu saya langsung tidak akan menjalin hubungan dengan mana-mana lelaki.
“Hanya masa belum tiba untuk saya berkahwin selepas bercerai pada 2021,” katanya.

Katanya, biarpun sudah berpisah dengan bekas suami, Sha’arin Mohamed Razali, namun hubungan tetap baik demi anak-anak.
“Anak-anak, Noah Ismail dan Eissa Elzander masih mendapat kasih sayang daripada kami.
“Meskipun tidak tinggal sebumbung, Noh dan Eissa tetap bertemu saya dan bapanya, setiap hari.
“Saya tidak akan sesekali memisahkan anak-anak daripada bapa kerana Sha’arin mempunyai hak ke atas zuriatnya.
“Saya akan menghantar anak-anak ke sekolah, manakala Sha’arin akan menjemput mereka,” katanya.
Yasmin berkata, dia mahu anak-anak merasakan mereka memiliki keluarga sempurna dan mendapat kasih sayang ibu bapa.
“Saya tidak suka minda anak-anak dipengaruhi dengan perkara negatif kerana bercerai adalah kami. Biar gagal dalam perkahwinan, tetapi bukan gagal mendidik anak-anak.
“Saya mahu anak-anak menikmati hidup seperti keluarga sempurna lain, Sebab itu, saya dan Sha’arin tiada masalah membawa anak-anak bercuti bersama.
“Biasanya, kami akan mengambil bilik berasingan, tetapi apa yang penting, anak-anak seronok dapat bercuti bersama ibu bapa,” kata Yasmin lagi.
Mengulas tiadakah ruang untuk kembali kepada bekas suami kembali, Yasmin berkata, dia dan Sha’arin sudah memiliki teman istimewa, jadi
agak mustahil perkara itu akan berlaku.
“Keputusan berpisah bukan dibuat mengikut perasaan, sebaliknya sudah difikirkan semasak-masaknya sebelum bercerai secara rasmi, lebih setahun lalu,” katanya.
Yasmin dan Sha’arin mendirikan rumah tangga pada 2011, sebelum berpisah pada 2021.
Kredit: Berita Harian