Kuala Lumpur: “Saya malas nak panjangkan isu ini sebab kami tiada perjanjian. Orang boleh kata, setakat cakap mulut semua orang boleh bercakap.”
Itu kata Tok Sidang Kampung Telok Bakong, Bota, Perak iaitu Zul Hasan, 60, mengenai dakwaannya terhadap syarikat produksi yang menerbitkan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan belum melunaskan hutang tertunggak sebanyak RM150,000 selepas menggunakan khidmatnya sebagai penyedia tapak, bekalan barang keperluan, binaan set, makanan, minuman dan penginapan ketika penggambaran filem itu.
Zul ketika dihubungi Harian Metro berkata, dia sekadar meluahkan rasa kecewa apabila syarikat produksi itu tidak menepati janji selepas filem itu berjaya meraih kutipan lebih RM100 juta.
“Ketika pengarah, Syamsul Yusof mengambil alih filem itu selepas tertangguh beberapa kali, macam-macam permintaan yang diminta Syamsul kepada pihak produksi.
“Jadi, wakil kru produksi berhubung dengan saya untuk minta bantuan bagi menyediakan segala kemahuan Syamsul seperti pembinaan kandang kuda, gudang, jeti dan macam-macam lagi. Ketika itu, mereka kekurangan bajet tapi masih nak buat.
“Saya pun bantulah sebab fikir dapat naikkan nama kampung selain beri peluang kepada penduduk kampung bekerja. Bayaran yang diberikan pun hanya kos upah saja, tapi apabila dah untung jutaan ringgit, mereka lupa siapa yang bertungkus-lumus selama ini.
“Saya kecewa sebab sebelum ini mereka ada menjanjikan sesuatu kalau filem itu berjaya, tapi sampai sekarang senyap saja,” katanya.
Menurut Zul, setakat ini dia difahamkan ada bayaran yang masih belum diselesaikan membabitkan rumah penginapan kru.
“Ketika orang kampung bising apabila lokasi penggambaran dibuat di kawasan yang dikawal selia pihak berkuasa, jadi saya ambil inisiatif berurusan dengan beberapa wakil agensi kerajaan untuk memastikan penggambaran tetap berjalan dengan lancar mengikut syarat ditetapkan.
“Saya bantu pun sebab fikir ini adalah filem sejarah dan beberapa kali tidak berjaya dilakukan. Banyak isu yang berlaku saya perlu selesaikan hingga terpaksa ganggu orang kampung untuk tolong bantu,” katanya.
Zul turut mendakwa dia sudah membantu syarikat produksi itu dalam urusan kebenaran dan keselamatan ketika penggambaran filem itu dijalankan.
Walaupun mendakwa kos perbelanjaan yang dikeluarkan mencecah RM150,000, namun dia sanggup mengurangkan bayaran kepada RM75,000.
Harian Metro sebelum ini melaporkan penerbit filem itu dari Studio Kembara Sdn Bhd, Abdul Rahman Mt Dali menafikan dakwaan Zul.
Abdul Rahman berkata, setakat ini pihaknya sedang mengumpul maklumat mengenai pendedahan yang dibuat itu.
“Pihak kami sedang mengumpul maklumat. Prinsip kami adalah bertanggungjawab dalam setiap rekod. Semua pembekal sudah dibayar,” katanya.
Kredit: Harian Metro