Kuala Lumpur: Filem bergenre aksi, Coast Guard Malaysia: Ops Helang meraih kutipan RM2.5 juta dalam tempoh empat hari tayangan sejak Sabtu lalu.
Penerbit Flying Deals Sdn Bhd, Muhammad Hady Yusry Makmor berkata, momentum itu dilihat akan berterusan apabila pawagam menambah dewan dan waktu tayangan berikutan permintaan tinggi.
“Saya menjangkakan pada hari Thaipusam hari ini kutipan akan terus meningkat. Kebanyakan pawagam sudah membuat penambahan dewan dan waktu tayangan di 132 pawagam seluruh Malaysia termasuk Brunei dan Singapura.
“Momentum penonton sejak hari pertama tayangan hingga memasuki hari kelima ini memang ada peningkatan.
“Kebanyakan pawagam terpaksa membuka dewan dan waktu tayangan untuk menampung jumlah penonton yang hadir. Saya tentunya sangat bersyukur dengan perkembangan ini.
“Ini bermakna penonton memberikan maklum balas positif kepada rakan lain sebaik menonton filem ini,” katanya.
Muhammad Hady Yusry berkata, dia bersama seluruh pasukan produksi bersyukur dengan pencapaian itu biarpun gerak kerja untuk mempromosikan filem berkenaan agak lewat.
“Banyak filem memulakan promosi sebulan atau dua bulan sebelum ditayangkan. Tetapi, kami bermula agak lambat iaitu seminggu atau dua minggu sebelum. Untuk malam gala pula kami jalankan sehari sebelum tayangan.
“Pada awalnya, saya agak risau, tetapi bila masuk sahaja hari kedua dan ketiga, kutipannya meningkat dengan agak laju.
“Saya dan pasukan yakin momentum filem ini akan meningkat setiap hari dan pawagam akan menayangkan filem ini dalam tempoh lama,” katanya.
Coast Guard Malaysia: Ops Helang adalah filem terbitan Flying Deals dan Arie Zaharie Production dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan menelan belanja RM13 juta.
Selain itu, filem berkenaan diedarkan Metrowealth International Group (MIG) dan disokong Primeworks Studios (PWS) bersama Media Prima Berhad (MPB).
Filem yang menggandingkan pelakon sasa, Saharul Ridzwan dan Julia Farhana Marin sebagai teraju utama membelanjakan RM400,000 bagi membina perkampungan lanun yang kemudian diletupkan dalam salah satu babak menarik naskhah ini.
Ia berkisar kehidupan Pegawai Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) APMM iaitu Leftenan Maritim Hafiz lakonan Saharul yang mahu memulakan kehidupan baharu di sebuah pulau selepas mengalami Gangguan Stress Pasca Trauma (PTSD).
Kredit: Harian Metro