KUALA LUMPUR: Kejayaan lagu Cinta menjulang trofi naib juara pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-36, tahun lalu memberi impak kepada penyanyi, Marsha Milan sehingga kini.

Sekali lagi melangkah ke pentas AJL menerusi lagu Kembali Terang untuk edisi kali ini, Marsha mengakui banyak perkara difikirkannya untuk membawa lagu itu pada malam kemuncak yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 12 Februari ini.

“Terus terang, saya akan ‘overthinking’ sebab persembahan lagu Cinta di AJL 36 masih belum habis fikir lagi.

“Walaupun lebih sukar, ia bukan kerana ada Ernie Zakri, Dayang Nurfaizah, Aina Abdul dan semua yang mempunyai vokal ‘power’ untuk AJL 37 tetapi kerana lagu Kembali Terang sangat besar bagi saya.

“Saya buntu macam mana nak besarkan lagu ini untuk AJL 37,” katanya.

Dalam pada itu, Marsha berharap AJL 37 akan berjalan lancar dan mendoakan semua yang terbabit sihat sehingga malam kemuncak.

“Saya takut nak berperang kerana pasti akan ada satu halangan. Saya harap tiada apa halangan untuk AJL 37.

“Saya doakan semua sihat sebab nak bertempur dalam AJL 37 bukan boleh pandang remeh. Satu Malaysia tengok,” kongsinya.

Dalam AJL 36, Marsha mendedahkan dirinya dijangkiti COVID-19 buat kali kedua ketika sedang sibuk membuat persiapan akhir untuk lagu Cinta.

AJL 37 bakal bersiaran secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 12 Februari depan, jam 9 malam di TV3.

Penonton juga boleh strim langsung AJL 37 di platform penstriman Tonton.

Seramai 12 finalis AJL 37 akan berentap iaitu Ernie (Korban), Aina (Terus Hidup), Iman Troye (Nang), Shila Amzah dan Liza Hanim (Bahagiakan Dia), Joe Flizzow dan Sona One (Satu Malam Di Temasek), Aliff Satar (Anugerah Terindah), Dayang Nurfaizah dan Amir Masdi (Debu), Noki dan MK (Payung Pelangi, Khai Bahar (Sengsara), Shiha Zikir (Irama) dan Naim Daniel (Mainan). – XTRA

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *