SEMANGAT menjelang tahun baharu 2023 dan berharap cuaca baik di lokasi acara persembahan menjadi impian utama buat penganjur, peminat dan selebriti yang menjayakan Fiesto Fest@Melaka 2022.

Penyanyi Azlan Typewriter dan Noki mengakui teruja untuk beraksi pada persembahan yang bakal mengubat kerinduan peminat di negeri itu.

“Saya akan beraksi solo dengan iringan band penganjur. Dah semestinya saya akan tampilkan persembahan yang menghiburkan.

“Saya percaya peminat pastinya tertunggu-tunggu bukan sahaja persembahan saya tapi artis-artis lain nanti,” kata Azlan.

“Ini bukan pertama kali saya beraksi di Melaka, namun kali ini agak istimewa kerana saya akan bersama MK. Kebetulan pada tahun baru dan ia adalah show pertama saya di tahun 2023.

“Saya yakin peminat akan datang menyokong. Apapun doakan agar cuaca baik tak hujan masa konsert berlangsung,” kata Noki pula.

Buat julung kali acara yang berlangsung di Dataran Pahlawan Megamall, Melaka bermula jam 10 pagi, pada Khamis hingga Ahad ini.

Selain dari itu, mereka juga dapat membabitkan diri dengan aktiviti sukan serta menyaksikan acara seni budaya dan kemasyarakatan yang turut merangkumi expo jualan produk-produk hebat usahawan tempatan.

Pengarah Projek Fiesto Fest, Ikhram Zainuddin, berkata program anjuran MEMCA (Persatuan Pengusaha Expo, Pengamal Media & Pencinta Budaya Malaysia) tampil berbeza daripada penganjuran festival yang sering diadakan oleh pihak lain.

“Fiesto Fest ibarat festival rakyat kerana kita masukkan elemen kesenian budaya dan sedikit sukan dan kemasyarakatan.

“Ia cukup lengkap semuanya kerana kami ada hiburan, sukan, kesenian dan budaya serta produk jualan usahawan bagi menjana ekonomi negara.

“Pengunjung pula boleh boleh menyertai pertandingan karaoke, Fiesto Idol serta pertandingan mewarna untuk kanak-kanak,” katanya pada sidang media yang berlangsung Jumaat lalu.

Menurutnya, mereka bekerjasama dengan Jabatan Belia dan Sukan Negara serta beberapa persatuan sukan lain lagi menjayakan pelbagai aktiviti selama empat hari, empat malam ini.

“Kita ada extrems sports sebab kita nak bagi pengunjung menikmati pelbagai aktiviti seperti rock climbing, paintball dan sebagainya seperti sukan catur dan memanah.

“Dari segi persembahan pentas pula, Fiesto Fest tampilkan persembahan pentas berbeza setiap malam untuk para pengunjung.

“Kelainan yang kita buat di Fiesto Fest adalah dari segi konsertnya. Insya-Allah kita akan berikan satu konsert yang terbaik dengan artis daripada pelbagai peringkat,” katanya.

Ikhram berkata, dari segi pengagihan jadual menyaksikan persembahan buskers yang akan disertai oleh buskers ternama.

“Malam kedua ada Kapak Nite, yang dikhaskan untuk artis lama buat persembahan. Kita panggil band lama yang buat comeback seperti Melissa, Akar Band, Dinamik, Noktah Band dan Max.

“Pada malam ketiga iaitu New Year Eve Night, pengunjung akan dihiburkan oleh artis hebat seperti Azlan Typewriter, Kristal, Klangit dan 6ixth Sense,” katanya.

Malam terakhir iaitu 1 Januari menyaksikan konsert membabitkan Noki, MK K-Clique, Asfan, P. Radi dan Iman Troye.

“Kami adalah gabungan yang mahir dan berpengalaman dalam penganjuran festival mengikut bidang masing-masing.

“Jumlah yang dikeluarkan ialah sekitar RM400,000 lebih untuk menampung kos penganjuran selama empat hari ini. Kami tetap bersemangat untuk memastikan Fiesto Fest berjalan lancar.

“Rugi kalau tak datang kerana Fiesto Fest tidak mengenakan sebarang bayaran tiket untuk pengunjung,” katanya yang mensasarkan sekitar 15,000 hingga 20,000 pengunjung sepanjang empat hari festival berlangsung.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *