Kuala Lumpur: “Orang kata saya tua, ya saya memang sudah tua. Saya tiada masalah mengenai perkara itu kerana walaupun sudah berusia tetapi ada juga yang baru 30-an namun sudah nampak tua”.
Demikian ulas pelakon jelita Rozita Che Wan apabila tular di media sosial mengenai solekan di wajahnya yang menampakkan garis penuaan.
Menginjak ke usia 50 pada tahun ini, Rozita atau mesra dengan sapaan Che Ta berkata, masih berpegang kepada prinsip untuk tidak menggunakan botoks atau teknologi untuk kekal muda.
“Setiap orang akan tua, jadi lebih baik saya meniti hari tua dengan proses semula jadi. Tidak perlu menyuntik botoks dan sebagainya. Bukan apa, setiap manusia akan tiba ajalnya, saya tidak mahu tubuh tidak diterima tanah pula.
“Pastinya saya mengetahui hukum hakam dan lebih selesa dengan paras rupa semula jadi begini. Malah, saya juga turut meminta pendapat Zain (suami) mengenai perkara ini.
“Nasihatnya, mana lebih perlu dititik beratkan? kecantikan atau kesihatan? Saya tidak mahu buah pinggang rosak akibat menyuntik vitamin bagi memutihkan kulit dan sebagainya,” kata Che Ta.
Menurut Che Ta, dia juga mengaku usianya kini sudah menghampiri separuh abad dan itulah realiti yang perlu diterima.
Che Ta mengulas mengenai komen warga maya terhadapnya ketika ditemui pada majlis pelancaran Wonder Suit by Jovian di Tropicana Golf & Country Resorts, di sini, baru-baru ini.
Tambahnya, sebagai individu yang bekerja dalam dunia glamour, dia seboleh-bolehnya mahu mengejar saham akhirat memandangkan usianya semakin meningkat.
“Setiap individu mempunyai pendapat dan prinsip tersendiri. Jadi saya memilih pendekatan sebegini setelah menitik beratkan pelbagai aspek.
“Saya pilih untuk tua dalam keadaan sihat berbanding cantik tetapi sakit. Apa yang saya takutkan adalah menjadi nyanyuk tetapi Insya-Allah perkara itu boleh diatasi sekiranya kita mengamalkan bacaan surah Yasin setiap kali selepas solat Subuh,” katanya.
Kredit: Harian Metro