Kuala Lumpur: Universal Music Malaysia (UMM) mengumumkan 24 peserta Mr World Malaysia 2022 yang terpilih untuk berentap gelaran juara pada final 15 September nanti bagi mewakili negara di Mr World 2022, hari ini.

Menariknya, buat pertama kali syarikat rakaman terbabit meneroka pertandingan ‘male pageant’ bagi mencipta platform selain memperkasa golongan jejaka berbakat untuk kembangkan sayap dalam bidang hiburan.

Pengarah Urusan UMM, Kim Lim berkata, matlamat mereka tidak lain untuk melahirkan jejaka yang cukup berkaliber serba-serbi dan mampu menjadi ikon serta menyumbang dalam industri hiburan

“Kami mahu melentur dan memberi pengalaman kepada mereka untuk gunakan bakat secara 360 darjah. Baik dari segi komunikasi, cara berdepan media, dan bukan sekadar visual fizikal semata-mata.

“Sekarang pun pelbagai saluran media sudah muncul. Kami berhasrat memanfaatkan bakat-bakat yang ada ini untuk pelbagai kandungan media sosial dihasilkan kelak.

“Saya sangat bersyukur dengan finalis yang kami ada. Ada kalangan mereka memang sudah pakar dalam dunia ‘pageant’ dan ada yang kami hubungi sendiri berdasarkan potensi besar mereka,” katanya.

Lim akui kesemua 24 peserta itu sememangnya sudah memiliki kualiti sebagai pemenang. Bagaimanapun, mereka masih akan teruskan pelbagai aktiviti penting mempersiapkan peserta itu menjelang final nanti.

“Bagi saya, masuk 24 mereka sudah macam pemenang. Ini kerana masing-masing pun datang dari pelbagai latar belakang cukup mengagumkan kerana profesion hebat termasuk doktor gigi.

“Kami juga mendapat bantuan pakar ‘pageant’ yang akan memantapkan lagi persiapan mereka. Saya berharap kami akan teruskan acara ini untuk tahun-tahun seterusnya,” katanya.

Daripada lebih 100 mencuba nasib, 24 yang berjaya lolos adalah Muhammad Zaim Yazid, 23, dari Selangor, Faris Nabil Juzaili, 23, Kuala Lumpur (KL), Kryz Chan, 27, KL, Muhammad Shafiy Mohd Hafidz, 25, Selangor, Jack Kho, 30, Sarawak, Isaac Cheah, 30, Pulau Pinang, Lam Chuan Lik, 30, Selangor, Raja Shah Irshad, 33, Selangor, Mohd Mussadiq Mohd Nizar, 32, Selangor, Ivan Kam, 20, Perak, Christopher Nge, 28, KL, Edison Ho, 34, Selangor, Wan Danial Mustaqim, 23, Selangor, dan Muhammad Effendi Ruslan, 26, Kedah.

Turut terpilih Danial Hansen, 27, Sabah, Parvin Rajamuthi, 23, KL, Muhammad Yusry Abd Rahman, 23, KL, Joshua Benedict, 32, Johor, Emmanuel Teh, 29, Pulau Pinang, El Umar Mukhtar, 28, Selangor, Chow Disheng, 31, Perak, Arvind Kamiles Kumar, 29, Selangor, Jayson Phuah, 28, KL, dan Daniel Ismail, 29, Johor.

Antara pakar ‘pageant’ yang bakal menjadi mentor mereka adalah Apple Green Luna. Setiap peserta akan dipersiap dari pelbagai aspek dan bukan sekadar fizikal semata-mata menjelang final.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *