KUALA LUMPUR: Penangan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan membuka pintu rezeki kepada aktor, Johan As’ari.

Selepas lebih lima tahun tidak muncul di kaca televisyen, Johan akhirnya ditawarkan watak hero menerusi drama lapan episod berjudul Gelora 1941, siaran RTM.

Menerusi drama arahan Khairul Anuar Mat Noor atau mesra disapa Warna, Johan kali pertama disatukan dengan

pelakon, Yuna Rahim.

“Saya akui, fenomena filem epik mega terbitan Studio Kembara sentuhan Syamsul Yusof itu menjadi tempias untuk syarikat produksi menyedari kehadiran saya hingga kembali ditawarkan watak utama.

“Saya anggap watak Yassin dalam filem Mat Kilau dan bergandingan dengan pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Fattah Amin dan Beto Kusyairy sebagai tuah berharga.

“Saya tumpang bangga selepas dua tahun industri kreatif lumpuh termasuk pawagam dihentikan operasi, kehadiran filem Mat Kilau membakar semangat penggiat seni untuk bangkit semula.

“Kutipan tiket RM90 juta selepas 33 hari tayangan juga luar biasa,” katanya.

Johan atau nama sebenarnya, Johan Arrif As’ari berkata, ada ketikanya rasa terpinggir dan seperti sudah dilupakan ekoran kurang mendapat liputan media, sejak kebelakangan ini.

Johan bergandingan dengan Yuna Rahim menerusi drama Gelora 1941 siaran RTM. - Foto IG Johan As’ari
Johan bergandingan dengan Yuna Rahim menerusi drama Gelora 1941 siaran RTM. – Foto IG Johan As’ari

Barangkali, Johan berkata, tiada kisah kontroversi menyebabkan dirinya tenggelam timbul. Hanya sesekali diingati ialah kisah cinta yang tidak kesampaian.

“Saya tak pernah merajuk. Ada sahaja drama lakonan disiarkan di kaca TV, tetapi seakan tidak diambil peduli. Mungkin juga saya lemah mempromosikan diri dalam media sosial.

“Saya sepi disebabkan kurang mendapat liputan. Bagaimanapun, saya masih gembira dan bekerja seperti biasa.

“Saya juga seperti orang lain ada platform media sosial dan berusaha mengikut aliran semasa agar tidak ketinggalan,” katanya.

Malah, Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada 2011 ini juga akur pernah melalui fasa turun naik.

“Saya pernah hanyut dan lupa diri ketika berada di puncak. Pengalaman itu mematangkan saya. Saya pernah jadi bingung apabila nama ditolak stesen TV tanpa sebab.

“Saya pernah bertahun-tahun tiada tawaran berlakon. Namun, syukur akhirnya rezeki berlakon datang tanpa diduga.

“Malah, ada produksi yang masih berani memberikan saya watak hero,” katanya.

Ditanya pengalaman berlakon di sisi Yuna, Johan mengakui, senang bekerjasama dengan pelakon berkenaan.

“Yuna peramah dan merendah diri. Lakonannya juga tidak mengecewakan. Dia rajin dan menjaga waktu kerja,” katanya.

Johan yang pernah mencipta populariti menerusi watak Botak dalam drama dan filem Juvana, penggambaran drama itu masih berjalan di Kuala Kangsar, Perak.

“Drama ini berlatarkan zaman sebelum merdeka. Saya pegang watak Cikgu Bahar.

“Cikgu Bahar dan Suri (Yuna) mempunyai ideologi sama iaitu ingin bangsa Melayu bebas dari penjajah.

“Turut membintangi, Mubarak Majid dan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar,” katanya

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *