Kuala Lumpur: Penyanyi kumpulan UNIC yang juga Johan Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Kedah 2019, Mohd Fakrul Radhi Khamarudin menyifatkan bacaan al-Quran dan tarranum pelakon, Datuk Adi Putra adalah bagus dan tepat.
Ia susulan video pelakon filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu yang membaca surah ar-Rahman beserta tarannum Rast tular di media sosial selepas dikongsikan di aplikasi TikTok
Fakhrul, 36, berkata, bacaan dan lagu yang dialunkan oleh Adi Putra adalah sama seperti Imam Masjidil Haram, Makkah, Abdul Rahman Al-Sudais.
“Alhamdulillah, bacaan Datuk Adi Putra bagus, tajwid betul dan lagu ada tarannum Rast. Mungkin dia selalu mendengar bacaan Imam Masjidil Haram, Abdul Rahman Al-Sudais.
Sebab itu bacaan yang selalu dialunkan Imam Al-Sudais.
“Sebelum ini pun, saya pernah menjemput Datuk untuk mengaji bersama saya secara langsung di Instagram ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020. Dari situ memang tengok dia bersemangat dalam bab mengaji untuk bagi ‘vibes’ yang baik.
“Ramai yang komen sewaktu sesi ‘live’. Selain itu, dia juga ada karisma dalam berkata-kata. Bukan saja saya, tapi penonton pun kagum dengan penggunaan bahasa dan nasihat disampaikan,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas mengenai video mengaji yang tular itu, Fakhrul berkata, ia sesuatu yang bagus selain dapat memberi contoh kepada masyarakat.
“Video mengaji yang tular ini, bagi saya ia ‘vibes’ yang sangat baik dan patut masyarakat contohi. Dia membawa watak Mat Kilau. Apabila Mat Kilau bersilat dalam filem itu, ramai anak muda nak belajar silat, kiranya ada pengaruh yang sangat baik. Orang nampak ciri pejuang Melayu ditambah bahasa dan skrip dalam itu menterjemahkan keperibadian Mat Kilau itu sendiri. Kalau kita membaca sejarah pun, Mat Kilau memang seorang yang kuat agama, mahir ilmu agama, al-Quran dan sebagainya. Dia bukan pejuang biasa.
“Jadi, apabila tengok Datuk mengaji, baguslah dan kena dengan watak Mat Kilau itu. Anak muda yang tengok dan ikut, insya-Allah dapat ‘vibes’ yang baik. Tahniah dan teruskan, moga ada manfaat baik untuk semua,” katanya.
Kredit: Harian Metro