Kuala Lumpur: Barisan pelawak tanah air menggesa agar pemilik kelab komedi lebih berhati-hati dengan kandungan persembahan di premis mereka pada masa depan.
Ia susulan aksi seorang wanita yang tular di media sosial kerana menanggalkan baju kurung dan tudungnya di sebuah premis di Taman Tun Dr Ismail (TTDI).
Tidak terkecuali seorang lelaki yang mengaku membuat persembahan jenakanya dalam bahasa Tamil kerana suka
Bagi Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad berkata, pelawak atau lokasi berlawak sepatutnya mempunyai garis tertentu agar tidak menyentuh mengenai, agama, bangsa dan merosakkan hubungan kaum satu dengan yang lain.
“Terus-terang cakap, saya tak pernah masuk mana-mana kelab komedi dalam Malaysia ataupun di luar negara. Jadi, saya tak tahu suasananya macam mana. Tapi saya pernah tengok di YouTube ada kelab stand up komedi.
“Jadi bila berkaitan dengan isu ini, saya seorang muslim, seorang yang beragama Islam dan kalau boleh kena ingat agama rasmi Malaysia ialah Islam dan kita dalam Malaysia dari dulu lagi hidup berbilang kaum dan berbilang bangsa.
“Pasti kita menghormati satu sama lain daripada segi bangsa dan agama. Apabila saya tengok isu berkenaan kelab komedi, seumpamanya dah macam dijadikan medan atau tempat untuk mewujudkan rasis penghinaan agama terutama Islam,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, kelab komedi wajar menjadi sebuah lokasi yang boleh mewujudkan sikap majmuk semua kaum.
“Kalau betul nak jadikan satu tempat di mana pelawak boleh asah bakat, orang menunjukkan komedi mereka dan nak cuba bakat mereka, kenapa tak adakan tempat yang lebih aman dan harmoni?
“Maksudnya kita jaga itu. Kita negara berbilang bangsa dan agama. Kita tak nak satu tempat dijadikan tempat begitu. Ia umpama barah kerana lama kelamaan mungkin makin berkembang dan kuat rasisnya.
“Pada saya tak seronok dan tak sewajarnya ada tempat yang sebegitu,” katanya.
Shuib turut menggesa agar pemilik kelab komedi di Malaysia dipantau dari segi kandungan dan persembahan.
“Jika begitu saya rasa industri komedi akan lebih maju dan lebih diangkat kerana platformnya terjaga,” katanya.
Pelawak Zizan Razak pula mahukan pelawak dan pemilik tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.
“Saya tahu isu ini agak sensitif dan sedang panas. Apapun perkara ini biar pihak yang sewajarnya membuat semakan apa yang terbaik, yang bagus dan yang kita perlu beri tindakan.
“Kalau tak sentuh mengenai sensitiviti agama dan politik atau bangsa, teruskan buat lawak tanpa buat orang terasa. Tiada masalah pun,” katanya.
Sementara itu, pelawak Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz atau lebih dikenali sebagai Johan pula enggan mengulas kerana tidak mahu memanaskan lagi keadaan selain ia sudah menjadi kes polis.
Terdahulu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggantung sementara operasi sebuah kelab pada 10 Julai lalu selepas didapati tidak mempunyai lesen hiburan selaras dengan Seksyen 17 Akta Hiburan 1992.
Pemilik kelab memohon lesen hiburan tetapi tidak diluluskan kerana dalam lesen hiburan terdapat beberapa syarat tertentu dikenakan sebagai contoh laporan bomba dan syarat aktiviti hiburan yang hendak diadakan.
Kredit: Harian Metro